Anda di sini

Klopp menggambarkan kelebihan 25 mata sebagai ‘gila’

Advertisement
 

LONDON, England: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menggambarkan kelebihan 25 mata pasukannya di singgahsana Liga Perdana Inggeris sebagai “gila” selepas Sadio Mane menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Norwich Sabtu lepas.

Liverpool tidak beraksi dengan agak baik dalam keadaan yang terjejas oleh Taufan Dennis di Carrow Road tetapi kembali di landasan kemenangan selepas rehat musim sejuk.

Mereka kini sudah mengharungi 43 perlawanan liga tanpa kalah, kurang enam perlawanan dari rekod Arsenal yang mengharungi 49 perlawanan tanpa kalah pada musim 2003/2004 dan semakin menghampiri kejuaraan liga yang pertama mereka sejak 30 tahun.

Liverpool sudah mengutip 103 dari 105 mata yang ada dalam Liga Perdana, menang 34 dari 35 perlawanan terakhir dan mempunyai lebih satu mata  - 76 – berbanding skuad Manchester United yang memenangi liga pada 1996/1997.

Klopp berkata keadaan angin dan disiplin pemain Norwich menjadikan perlawanan sukar tetapi pemainnya tetap tenang.

“Saya dapat melihat dari raut wajah pemain saya di mana mereka tidak cemas, mereka mengharunginya dengan baik dan jika satu pasukan yang mampu menjaringkan gol, ia adalah kami,” kata Klopp.

“Kami juga bertahan dengan baik dari serangan pantas. Ia benar-benar tentang pemain yang hebat dalam pasukan.

“Jurang mata sekarang adalah sangat gila. Saya tidak memahaminya, saya tidak begitu bijak. Saya belum pernah mengharungi pengalaman seperti ini. Ia luar biasa, ia sangat sukar. Saya kembali ke bilik persalinan dan kami bercakap tentang perkara ini dan saya berkata ‘oh, tetapi tahniah. Kami menang perlawanan, satu lagi mata diperolehi’.”

KLOPP
KLOPP

Kekalahan menyebabkan Norwich kekal di tangga terbawah liga, enam mata di belakang Watford dan dijangka akan kembali semula ke Liga Kejuaraan musim hadapan walaupun mempamerkan aksi yang memberangsangkan.

Klopp menurunkan pemain tengah, Naby Keita dalam kesebelasn utama yang pertama beliau sejak Disember dan Mane bermula di bangku simpanan ketika Liverpool bermula dengan yakin.

Liverpool mengawal bola di awal permainan tetapi gagal mencipta peluang terbaik dengan Norwich ada mempunyai ruang dengan hantaran yang baik.

Penyerang Liverpool, Roberto Firmino, paling menyerlah apabila mengawal cantik satu hantaran jauh Jordan Henderson tetapi tidak sempat melakukan penyudah apabila bola berjaya dirampas pertahanan Norwich, yang berjaya mengekang asakan Liverpool beberapa kali dan hampir membuka jaringan.

Lukas Rupp mencuri ruang di pertahanan Liverpool dan mengawal bola umpanan jauh dengan baik tetapi daripada melakukan rembatan ke pintu gol, beliau mengumpan bola kepada Teemu Pukki tetapi rembatannya ditepis penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Liverpool kembali mengawal permainan dalam separuh masa kedua tetapi sekali lagi gagal mencari ruang terbaik sebelum Keita menguji penjaga gol Norwich, Tim Krul dengan rembatan jarak jauh pada minit ke-58.

Mane dimasukkan tidak lama selepas itu dan ketika Norwich mengintai peluang menjadi pasukan kedua – selepas Manchester United – yang menafikan tiga mata buat Liverpool, Mane memecah kebuntuan dengan gol minit ke-78 untuk meneruskan kemaraan bergaya Liverpool untuk memenangi kejuaraan liga yang pertama mereka sejak 30 tahun. — AFP

Advertisement