Anda di sini

Jumlah pelancong China ke Sabah akan kembali meningkat

Advertisement
 Peter (lima kiri) menyerahkan cek dan surat kepada Liang (enam kanan) sempena dengan kunjungan hormat itu.
SUMBANGAN: Peter (lima kiri) menyerahkan cek dan surat kepada Liang (enam kanan) sempena dengan kunjungan hormat itu.

KOTA KINABALU: Konsul Jeneral Negara China di Kota Kinabalu Liang Caide yakin ketibaan pelancong China ke Sabah akan melonjak tinggi sebaik wabak koronavirus (COVID-19) berakhir.

Katanya, pelancong China tentunya tidak sabar untuk kembali melancong ke luar negara apabila  ancaman virus berkenaan tiada lagi.

"Pemain industri pelancongan di Sabah perlu bersiap sedia untuk menerima kedatangan jumlah pelancong China yang lebih tinggi selepas ancaman COVID-19 berakhir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Dewan Perniagaan Cina Semporna yang diketuai oleh Timbalan Presiden Peter Gan di sini.

Liang berkata, pihaknya sedar industri pelancongan di Sabah menerima kesan besar akibat daripada ancaman COVID-19 terutama di kawasan Semporna.

Bagaimanapun pihaknya percaya lebih ramai pelancong China akan kembali berkunjung ke Semporna selepas wabak berkenaan berkurangan.

Sempena kunjungan itu, Dewan Perniagaan Cina Semporna menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada pihak konsulat China bagi membantu usaha negara China memerangi wabak COVID-19.