Anda di sini

COVID-19: Tiada akuan palsu dikesan di Sarawak setakat ini 

Advertisement
Uggah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai COVID-19 di Kuching hari ini.
Uggah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai COVID-19 di Kuching hari ini.

KUCHING: Tiada akuan palsu dikesan setakat ini dalam Borang Akuan Kesihatan (HDF) yang diisi semasa ketibaan di Sarawak termasuk warganegara asing. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen bahawa setakat ini pegawai mereka tidak mengesan sebarang akuan palsu mengenai sejarah perjalanan. 

“Mereka telah menyemak akuan pemilik pasport dan jika pemiliknya pernah ke China baru-baru ini, ia akan ditunjukkan dalam pasport melalui cap imigresen China,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat kedua jawatankuasa mengenai kemas kini COVID-19 di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini. 

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri bagaimanapun kesal mendapati ada individu yang tidak bermoral telah menjual borang kepada pelawat di pintu masuk tertentu. 

“Saya ingin maklumkan semua bahawa borang adalah diberikan secara percuma dan setakat ini jawatankuasa telah memberikan lebih 800,000 borang,” katanya. 

Dalam pada itu, Sarawak katanya telah menerima tiga alat pengesan haba baharu dari Kementerian Kesihatan. 

Dua katanya telah dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Lapangan Terbang Sibu yang mana digunakan ketika ini. 

Bakinya adalah untuk Stesen Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Sungai Tujoh yang akan dipasang dan beroperasi pada 18 Februari ini. 

“Tiga alat pengesan haba baharu ini adalah tambahan kepada dua sedia ada di KIA dan Lapangan Terbang Miri bagi ketibaan antarabangsa. 

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam pada itu akan menyediakan dua lagi untuk dipasang di Lapangan Terbang Sibu dan Bintulu,” ujarnya. 

Jawatankuasa turut menasihatkan majikan yang mahu membawa pekerja dari China untuk memaklumkan kepada jawatankuasa terlebih dahulu. 

Katanya semua pekerja perlu menjalani kuarantin sendiri 14 hari dan majikan perlu menyediakan pusat kuarantin. 

Mengenai acara tempatan melibatkan kumpulan besar di negeri ini, Uggah berkata ia boleh diteruskan. 

Tetapi katanya, bagi yang melibatkan warganegara asing dari China, mereka tidak dibenarkan sehingga notis lanjut. 

Advertisement