Anda di sini

Billie Eilish cipta lagu untuk James Bond

Advertisement
BILLIE ELISH
BILLIE ELISH

IKON pop remaja Billie Eilish mengeluarkan lagu temanya untuk James Bond pada Jumaat lepas, dan mencatatkan 2.2 juta tontonan dalam masa hanya enam jam sahaja untuk meneruskan kebangkitan yang menakjubkan bagi prodigi remaja tersebut.

Lagu balada itu, yang sama tajuk dengan filem akan datang ‘No Time To Die’, memaparkan kesayuan yang telah memberi status bintang kepada Eilish dan melengkapkan tempoh beberapa minggu yang cemerlang bagi remaja itu.

Pada bulan lepas, Eilish muncul sebagai bintang utama di Anugerah Grammy apabila dia menyapu lima anugerah termasuk empat hadiah besar: Album Terbaik, Lagu Terbaik, Rekod Terbaik dan Artis Baharu Terbaik.

Penyanyi kelahiran Los Angeles itu, yang baharu berusia 18 tahun pada Disember lalu, merupakan artis paling muda untuk merekodkan sebuah lagu Bond.

Lagu itu ditulis bersama kolaborator kreatif utamanya – yang juga abangnya – Finneas O'Connell.

Laman Facebooknya menyebut Eilish akan mempersembahkan tayangan perdana dunia bagi lagu baharunya di Anugerah Brit pada Selasa ini di London di sisi O’Conner, konduktor skor muzik Hans Zimmer dan bekas legenda kumpulan Smiths, Johnnya Marr.

Filem ke-25 bagi saga perisik British berkenaan, yang dijadual keluar pada April, menyaksikan Bond dipujuk untuk kembali daripada persaraan di Jamaica oleh rakan lamanya yang juga ejen CIA, Felix Leiter.

Rami Malek, yang memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik Oscar untuk lakonannya sebagai penyanyi utama kumpulan Queen, Freddie Mercury, dalam ‘Bohemian Rhapsody’, membawa watak penjahat.

Craig, 51, yang menjalani pembedahan buku lali kecil selepas mengalami kecederaan di set penggambaran, dijangka akan berundur selepas lapan tahun menjadi Ejen 007.

Treler memaparkan adegan-adegan biasa Bond yang telah menjadi francais itu begitu berjaya selama ini: aksi kejar-mengejar kereta, berbalas tembakan, gajet serta wanita cantik dan seksi.

Namun lagu Eilish pasti menjamin minat daripada demografi yang lebih muda.

Eilish yang jujur, dan pemuzik yang terkenal pada peringkat global dan terbesar untuk muncul dari Generasi Z, menarik peminat muda dengan penampilan media sosial peribadi dan kepetahan berbahasa Internet.

Stail utamanya memaparkan baju sejuk yang terlalu besar dan seluar labuh, selalunya digandingkan dengan kacamata hitam dan sambungan kuku panjang dan berwarna-warni yang selalunya dikaitkan dengan penyanyi rap Cardi B.

Ketika dia berusia 13 tahun, dia telah mengeluarkan single sulungnya yang diterbitkan dalam bilik tidur ‘Ocean Eyes’ menerusi SoundCloud, platform striming buat sendiri yang turut memasyhurkan satu generasi penyanyi rap muda.

Interscope menandatanganinya pada usia 14 tahun – untuk menjadikan warga California itu seorang bintang pop zaman Internet yang amat jarang sekali menang besar dalam talian dan kemudian melihat sebuah label melabur masa dan wang untuk mengasah bakatnya bagi jangka masa panjang.

Pada tahun lepas dia mengeluarkan sebuah album nombor satu bertajuk ‘’When We All Fall Asleep, Where Do We Go?’, menduduki tempat pertama dalam carta lagu-lagu hangat dengan singlenya ‘Bad Guy’ dan mempersembahkan satu set di atas pentas perdana di festival muzik Coachella. — AFP

Advertisement