Anda di sini

Beberapa roket jatuh dekat kedutaan AS di Iraq: Sumber

Advertisement

BAGHDAD: Beberapa roket jatuh berhampiran kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Iraq awal semalam, kata sumber tentera Amerika, kejadian terbaharu dalam siri serangan ke atas aset-aset AS di negara tersebut.

Serangan itu membunyikan penggera amaran di seluruh pekarangan diplomatik tetapi ia tidak jelas apa sebenar yang terkena roket dan berapa banyak roket memberi impak, kata sumber AS tersebut dan seorang diplomat Barat yang berpangkalan dekat dengan AFP.

Tiada laporan segera diterima mengenai kematian.

Wartawan AFP terdengar beberapa letupan kuat yang disusuli pesawat yang mengelilingi udara berhampiran Zon Hijay, kawasan kawalan keselamatan tinggi di mana misi AS terletak.

Ia merupakan serangan ke-19 sejak Oktober lalu untuk menyasari kedutaan atau kira-kira 5,200 anggota tentera AS yang ditugaskan bersama tentera tempatan di Iraq.

Serangan itu tidak pernah diakui sesiapa tetapi AS telah menuding jari kepada kumpulan yang disokong oleh Iran dalam Hashed al-Shaabi, sebuah rangkaian ketenteraan yang secara rasmi diserapkan ke dalam pasukan keselamatan kerajaan Iraq.

Pada hujung Disember lalu, satu serangan roket ke atas pangkalan K1 di utara Iraq mengorbankan seorang kontraktor AS dan mencetuskan siri kejadian yang dramatik.

Washington membalas dengan serangan balas ke atas sebuah puak Hashed yang berpendirian keras di barat Iraq dan beberapa hari kemudian, satu serangan dron Amerika di Baghdad membunuh jeneral tertinggi Iran Qasem Soleimani dan orang kanannya, timbalan ketua Hashed, Abu Mahdi al-Muhandis.

Puak-puak Hashed telah berikrar untuk membalas dendam di atas kematian dua pemimpin tersebut, dan menuntut agar tentera AS meninggalkan Iraq serta-merta.

Serangan semalam berlaku hanya beberapa jam sahaja selepas seorang anggota salah satu puak Hashed yang disokong oleh Iran, Harakat al-Nujaba, mengumumkan “kiraan masa” untuk menyingkirkan tentera Amerika dari Iraq.

Dia menunjukkan gambar dalam Twitter bagi apa yang dia dakwa adalah sebuah kenderaan tentera Amerika, dan menambah: “Kami adalah lebih dekat daripada apa yang anda fikirkan.” — AFP

Advertisement