
SAMBUTAN Tahun Baharu Cina (TBC) di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Kiang Hin di Sibu berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti, baru-baru ini.
Majlis bermula jam 9 pagi diserikan ketibaan tetamu kehormat iaitu Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sibu baharu, Ahli Chikba sambil diiringi paluan gendang dan tarian singa.

Ketibaan Ahli disambut Pengerusi Lembaga Pengarah SJK C Kiang Hin Kapitan Soo Teck Kee, Guru Besar SJK C Kiang Hin Ling Ing Kiong, ahli lembaga sekolah yang lain, tetamu jemputan, guru-guru serta ibu bapa.
Pembukaan majlis dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dari kumpulan tarian singa tempatan dan persembahan tarian kebudayaan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Upacara simbolik perasmian dengan memotong kek dan menulis kaligrafi Cina turut diadakan.
Di samping itu, pelajar-pelajar cemerlang turut diraikan pada majlis itu dengan penyampaian insentif kecemerlangan daripada lembaga pengarah sekolah.

Terdahulu, Soo dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan guru-guru dan pelajar-pelajar kerana saling bekerjasama menjayakan majlis tersebut.
Katanya, sokongan ibu bapa dan ahli-ahli lembaga pengarah turut menyumbang kepada kejayaan majlis itu.



