Anda di sini

Kerajaan negeri komited bantu usahawan luar bandar

Advertisement
 Sarifuddin memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian majlis itu.
RASMI: Sarifuddin memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian majlis itu.

TAWAU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan komited dalam membantu usahawan-usahawan di negeri ini terutamanya di luar bandar supaya lebih proaktif dan berdaya maju.

Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Sarifuddin Hata berkata, kerajaan berusaha membantu usahawan di negeri ini dengan menyediakan peruntukan lebih RM40 juta pada tahun 2020.

"Peruntukan itu ditingkatkan dua kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya diberikan RM23 juta sahaja untuk diagih-agihakan kepada usahawan di negeri ini.

"Peningkatan itu merupakan inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang berhasrat untuk melihat lebih ramai rakyat di negeri ini terlibat dalam bidang perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis makan malam Yayasan Usaha Maju (YUM), di sini semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata penubuhan YUM yang merupakan agensi perkhidmatan kredit mikro kerajaan di bawah Kementerian Kewangan banyak membantu golongan wanita untuk bergiat dalam perniagaan.

"YUM berusaha gigih memajukan golongan sasar wanita di negeri ini selaras dengan matlamat dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup wanita melalui pelbagai program pembangunan keusahawanan," katanya.

Menurutnya, YUM telah menggerakkan komuniti wanita luar bandar terutamanya di daerah ini untuk menyumbang secara produktif kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri.

"Yayasan ini juga berjaya menggalakkan penyertaan berterusan ramai wanita dalam aktiviti perniagaan dan keusahawanan sehingga dapat  merancakkan aktiviti ekonomi setempat termasuklah di daerah ini.

"Saya difahamakan lebih 30,000 usahawan kecil di seluruh negeri Sabah dan 1,200 daripadanya dari daerah ini yang sudah menjadi ahli YUM," katanya.

Beliau berkata dengan usaha yang dibentuk oleh YUM ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang dapat menghasilkan pendapatan bukan sahaja kepada ahli tetapi masyarakat lain.

Sarifuddin menasihatkan setiap ahli YUM jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian setakat ini, sebaliknya perlu terus berusaha sambil meningkatkan keupayaan komuniti usahawan masing-masing.

"Diharapkan YUM dapat memaksimakan impak program pinjamannya dengan melaksanakan apa juga program nilai tambah seperti program peningkatan pengetahuan dan kemahiran melalui latihan pembangunan perniagaan.

"Saya juga akan berusaha mengikut kapasiti dan kemampuan yang ada membantu YUM melaksanakan fungsinya dengan lebih cekap dan berkesan ke arah merealisasikan matlamat kerajaan negeri," katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan Yayasan Usaha Maju Freddy Rantau dan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Pusat YUM Tawau Rusia Mahmud.

 Sarifuddin menyampaikan hadiah khas kepada salah seorang penerima Anugerah Pusat Cemerlang.
ANUGERAH: Sarifuddin menyampaikan hadiah khas kepada salah seorang penerima Anugerah Pusat Cemerlang.
  • oleh
  • Advertisement