Daripada RM8 juta pada 2017 kepada RM62 juta pada 2019
SANDAKAN: Pengarah Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang Bank Negara Malaysia, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata trend kiriman wang secara atas talian di negeri ini melonjak kepada 652 peratus bagi tempoh 2017 hingga 2019.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun itu juga, nilai perkhidmatan penghantaran wang di Sabah meningkat daripada RM8 juta pada 2017 kepada RM62 juta pada 2019.
Katanya, ia hasil promosi perkhidmatan penghantaran wang secara atas talian menerusi Projek Greenback 2.0 Kota Kinabalu (GBKK) yang dilancarkan pada Mac 2018.
Selain itu, katanya kerjasama pihaknya bersama penyedia perkhidmatan kiriman wang turut menyumbang kepada peningkatan tujuh kali ganda bagi penggunaan perkhidmatan itu.
"Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan lebih ramai pemain industri membangunkan aplikasi perkhidmatan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Projek GBKK 2.0 di Hotel Four Points oleh Sheraton Sandakan di sini kelmarin.
Majlis penutupan berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah.
Hadir sama, Pengurus Negara Malaysia Bank Dunia, Dr Firas Raad, Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris.
Mengulas lanjut, Nik Mohamed Din berkata lebih 14,000 pekerja asing di Sabah telah berdaftar dengan penyedia perkhidmatan penghantaran wang atas talian semasa GBKK 2.0 berjalan.
Jelasnya, BNM menggalakkan lebih ramai pekerja asing mendaftar untuk perkhidmatan itu kerana ia bukan sahaja mudah dan selamat, malah menjimatkan kos dan menyingkirkan pengendali perkhidmataan tidak bertauliah.
Pada majlis itu, BNM telah memberi anugerah kepada rakan kongsinya yang terlibat dalam GBKK 2.0 iaitu SMJ Teratai Sdn Bhd, Merchantrade Asia Sdn Bhd, Valyou Sdn Bhd, IME (M) Sdn Bhd dan TML Remittance Centre Sdn Bhd.
Selain itu, dua syarikat perladangan turut menerima anugerah yang sama iaitu Sime Darby Plantation Berhad dan Sawit Kinabalu Sdn Bhd.