Anda di sini

Sabah hab pelaburan ASEAN

Advertisement
Darell (empat kanan) bersama Rozman (kanan), Moehamad Izat (tiga kanan) dan Nordin (empat kiri) merakam gambar kenangan sempena majlis itu.
Darell (empat kanan) bersama Rozman (kanan), Moehamad Izat (tiga kanan) dan Nordin (empat kiri) merakam gambar kenangan sempena majlis itu.

 Sarawak dan Semenanjung juga akan terima limpahan manfaat, kata Darell

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi hab pelaburan bagi negara anggota ASEAN, sekali gus memacu pembangunan ekonomi negeri ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, berkata potensi itu merangkumi sumber alam semulajadi selain kedudukan strategik serta pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh pelabur.
 
"Model perniagaan tidak lagi sama, dahulunya kita bergantung kepada minyak petroleum dan gas, tetapi dengan adanya sumber alam semulajadi kita akan menggunakan kelebihan ini untuk menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.  

"Perkembangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah, malah Sarawak dan Semenanjung Malaysia turut menerima limpahan daripada pelabur-pelabur dari ASEAN serta negara-negara anggota Komanwel.   

"Oleh itu, kita perlu menyediakan fasiliti asas seperti bekalan air dan elektrik kepada pelabur bagi memastikan keselesaan mereka di sini," katanya ketika merasmikan pelancaran Dewan Perdagangan Asean (Sabah Chapter) di sini pada Jumaat.

Beliau yakin dewan perniagaan itu dapat memudahkan akses kepada tawaran pelaburan, sekaligus menjalinkan hubungan baik dalam kalangan ahli.

"Penubuhan rangkaian antara ahli-ahli dewan dalam ASEAN pasti akan memberi tawaran hebat  bukan sahaja membantu memudahkan akses untuk menjalankan perniagaan, tetapi juga meningkatkan hubungan sesama ahli," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Dewan Perniagaan (Sabah Chapter), Nordin Ening, menyatakan pihaknya komited membantu kerajaan untuk membawa pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara.

"Kilang abalon kepunyaan syarikat Korea yang sedang dalam proses pembinaan di Lahad Datu akan menggaji seramai 300 penyelam tempatan dan memerlukan seramai 200 pekerja tambahan.

"Pada fasa pertama bagi kilang abalon melibatkan jumlah pelaburan RM50 juta dan diikuti fasa kedua dengan jumlah yang sama dan jumlah keseluruhanadalah RM1 billion.

"Kita juga telah membawa dua pelabur dari Semenanjung untuk membuka kilang-kilang pesticide, control panel dan lampu jalan di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), selain membantu memberi geran yang perlu kepada pelabur yang layak," katanya.

Turut hadir Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir, Timbalan Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Dato' Sohaimi Shahadan dan Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan (Sabah Chapter), Dato Fredie Sua.

Advertisement