Anda di sini

Ronaldo selamatkan Juve melalui satu jaringan penalti

Advertisement
 Ronaldo (tengah) ketika beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Itali di antara AC Milan dan Juventus di Stadium San Siro, Milan. — Gambar AFP
LINCAH: Ronaldo (tengah) ketika beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Itali di antara AC Milan dan Juventus di Stadium San Siro, Milan. — Gambar AFP

MILAN: Tendangan penalti Cristiano Ronaldo pada waktu kecederaan memastikan Juventus merampas keputusan seri 1-1 di AC Milan pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama Piala Itali pada Khamis untuk meneruskan siri jaringannya yang menakjubkan.

Pemain berusia 35 tahun itu kini sudah menjaringkan 12 gol dalam lapan perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan selepas pemain Portugal itu pada akhirnya berjaya mengatasi seteru lama Zlatan Ibrahimovic walaupun amnya tidak begitu menonjol bagi kebanyakan waktu dalam perlawanan tersebut.

Milan menanggung akibat selepas Theo Hernandez dilayangkan kad merah pada minit ke-71 apabila mereka gagal untuk memenangi perlawanan yang mereka dominasi bagi tempoh yang lama dan menjaringkan gol pendahuluan menerusi Ante Rebic.

Juve kini adalah pasukan pilihan untuk melaksanakan tugas pada pusingan kedua di Stadium Allianz pada bulan depan, dengan perlawanan akhir menentang sama ada Inter Milan atau Napoli menjadi rebutan.

Pasukan tuan rumah bermula mantap, dengan Ibrahimovic yang menanduk bola melepasi palang gol dalam minit pertama.

Dia terus menjadi ancaman kepada kelab lamanya pada awal perlawanan tetapi hanya dapat menolak kuisan tumit ke belakang yang melepasi tiang jauh, sebelum dia dilayangkan kad kuning yang bermakna dia akan digantung untuk perlawanan pusingan kedua.

Juventus akhirnya menghasilkan rembatan pertama mereka dengan marah sembilan minit sebelum waktu rehat, apabola Juan Cuadrado menyaksikan rembatan rendahnya diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma.

Milan memulakan separuh masa kedua seperti mereka memulakan babak pertama, dengan langkah kanan, tetapi Rebic dinafikan gol pembukaan oleh Gianluigi Buffon.

Samu Castillejo turut memaksa Buffon bertindak tujuh minit selepas waktu rehat, dan penjaga gol berusia 42 tahun itu berjaya menyelamatkan bola dengan selesa.

Bagaimanapun pasukan Stefano Pioli akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-61 apabila hantaran lintang Castillejo dirembat masuk di tiang belakang oleh Rebic.

Juventus diberi peluang untuk kembali ke dalam perlawanan 18 minit sebelum tamat apabila Hernandez dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan asakan lambat ke atas Paulo Dybala.

Ia mendorong juara 13 kali itu untuk meningkatkan tekanan ke atas gawang tuan rumah, dan Donnarumma terpaksa waspada untuk menghalang tandukan Matthijs de Ligt.

Dybala melakukan rembatan yang tersasar lima minit sebelum tamat tetapi Juve diberi tendangan penalti pada minit terakhir dalam masa biasa seleps VAR mendapati bola disentuh oleh Davide Calabria dengan tangannya.

Ronaldo tampil dan merembat bola ke bahagian tengah gawang untuk menjaringkan golnya yang ke-24 pada musim ini.

Enam minit dalam masa kecederaan memberi harapan kepada pasukan pelawat untuk mendapatkan kemenangan yang tidak dijangkakan, tetapi Milan sekurang-kurangnya bertahan untuk keputusan seri bagi menghidupkan usaha mereka untuk memenangi mahkota Piala pertama sejak 2003.

Pada Rabu lepas, Napoli terlebih dahulu memberi tamparan dalam perlawanan separuh akhir mereka apabial para pemain Gennaro Gattuso menundukkan pendahulu Serie A Inter Milan 1-0 di San Siro, dengan Fabian Ruiz yang menjaringkan gol kemenangan.

Perlawanan separuh akhir pusingan kedua akan berlangsung pada 4 dan 5 Mac, manakala final adalah pada 13 Mei di Stadio Olimpico, Rom. — AFP

Advertisement