Anda di sini

Monaco didorong kepulangan Slimani

SLIMANI
SLIMANI

PARIS: Monaco mahu kembali bermain bola sepak di Eropah menjelang kunjungan Montpellier yang sedang bermain dengan cemerlang, sebahagiannya didorong oleh kepulangan penyerang yang mahu meninggalkan kelab, Islam Slimani ke dalam lingkungan mereka.

Monaco, sebuah kelab bermasalah sejak beberapa musim lalu, tiba-tiba kelihatan seperti pencabar yang tulen untuk bola sepak Eropah pada musim akan datang selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut yang mengetengahkan tahap kebersamaan baharu, dan kebangkitan Slimani melambangkan perkara tersebut.

Pada minggu lepas, pemain antarabangsa Algeria itu menamatkan tempohnya di tepi padang selepas dia memohon untuk pindah kelab pada Januari lepas dan menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan di Amiens yang melonjakkan mereka ke tempat ketujuh dalam Ligue 1, lima mata dari tempat kelayakan Eropah.

“Saya gembira untuk bermain semula. Ia adalah penting bagi pasukan dan penting bagi saya untuk kembali,” kata Slimani selepas kemenangan yang dramatik itu.

Monaco melayan kunjungan Montpellier dengan keyakinan yang datang daripada kepulangan pemain berusia 32 tahun itu, yang sudah menjaringkan lapan gol dan mencipta lapan jaringan pada musim ini, seterusnya membantu kelab prinsipaliti itu untuk menjadi penjaring gol kedua tertinggi di Perancis di belakang pendahulu PSG.

Slimani  adalah pilihan utama di depan Stevan Jovetic untuk memulakan perlawanan menentang Montpellier, yang menduduki tempat kelima dan sedang berusaha untuk bermain bola sepak dalam Liga Juara-Juara walaupun memiliki bajet yang agak kecil sebanyak 40 juta euro (RM192 juta) semusim.

Dia dan penjaring terbanyak Ligue 1 Wissam Ben Yedder di antara mereka sudah menjaringkan 24 gol daripada 40 gol liga Monaco, dan gandingan mereka ternyata perkara utama pada musim yang tunggang-langgang dan menyaksikan mereka merempat dalam kelompok tiga tercorot sebelum mereka melonjak dalam carta liga.

Turut merebut tempat dalam kelompok teratas Eropah adalah Marseille, yang menentang sebuah lagi kelab yang memburu tempat dalam Liga Juara-Juara, Lille, di Stade Pierre Mauroy esok (Ahad) dengan matlamat untuk bangkit selepas disingkirkan oleh Yons dalam Piala Perancis pada Rabu lepas.

Marseille dijangka akan menaruh kepercayaan kepada bintang utama Dimitri Payet, yang telah menjaringkan enam gol dalam sembilan perlawanan terakhirnya tetapi digantikan sebagai langkah berjaga-jaga sewaktu kekalahan 1-0 pada Rabu lepas setelah dia rasa sakit dalam hamstringnya.

Prestrasinya amat penting dalam kejayaan pasukan Andre Villas-Boas mengukuhkan kedudukan di tempat kedua, lapan mata di depan Rennes yang menduduki tempat ketiga.

Bagaimanapun mereka berdepan dengan tugasan yang hampir mustahil untuk mengejar PSG, yang mendahului dengan kelebihan 12 mata dan mempunyai tugasan yang agak mudah iaitu kunjungan ke Amiens yang diancam relegasi pada malam ini (Sabtu). — AFP