TAWAU: Kerajaan sudah merancang satu pelan tindakan mantap untuk memastikan sekolah-sekolah tahfiz di negara ini mendapat pendidikan dan infrastruktur yang sempurna seperti sekolah perdana lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata kerajaan sangat menitik beratkan soal pendidikan di sekolah tahfiz yang semakin banyak ditubuhkan sehingga kerajaan merancang mengadakan satu pelan tindakan khusus mengurus sekolah-sekolah ini.
"Dalam perancangan berkenaan sekolah ini, pihak kerajaan sudah membuat satu dasar berlandaskan lima teras termasuklah Kurikulum tahfiz, Infrastrukttur, Latihan guru, Mengarus perdanakan dan memberikan pensijilan kepada sekolah tahfiz yang berdaftar.
"Buat masa ini pihak kerajaan juga sudah meluluskan Majlis Tahfiz Negara yang akan melihat kepada kurikulum sekolah-sekolah tahfiz dan kita mahukan pelajar ini disiapkan infrastruktur yang baik supaya mereka boleh masuk ke arus perdana.
"Kita mahu jadikan sekolah-sekolah tahfiz ini bukan sahaja melahirkan guru agama tetapi kita mahu melihat mereka ini juga berupaya menjadi seorang Saintis, Jurutera, Usahawan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata ketika ditemui semasa merasmikan Konvensyen Wanita Rahmah Peringkat Negeri Sabah 2020 di Dewan Masyarakat yang dihadiri oleh lebih 2000 wanita daerah Tawau, di sini semalam.
Menurutnya, pihak kerajaan juga sudah menyiapkan garis panduan berkenaan dengan penubuhan sekolah tahfiz dan pendaftaran sekolah ini.
"Buat masa ini pentadbiran sekolah tahfiz dibawah Enakmen sekolah-sekolah agama di setiap negeri dan perlunya setiap negeri bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelaras undang-undang berkaitan isu penubuhan dan pendaftaran sekolah tahfiz.
"Kerajaan sudah memcadangkan untuk menyelaras semua undang-undang berkaitan tahfiz ini dan garis panduan akan disediakan oleh Jakim dengan Jawatankuasa Teknikal yang akan ditubuhkan," katanya ketika diajukan soalan berkaitan banyak sekolah tahfiz di negeri ini tidak berdaftar.
Beliau berkata Parlimen juga sudah melakukan pindaan ke atas Akta 505 iaitu Akta Pentadbiran Hal Ehwal Islam di Wilayah Persekutuan untuk memasukkan satu kaedah berkenaan pentadbiran sekolah agama termasuk sekolah tahfiz.
"Kaedah itu sedang dibangunkan untuk melihat aspek penubuhan dan pendaftaran sekolah agama dan tahfiz di setiap negeri yang merangkumi panduan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Bomba.
"Pihak kerajaan mahukan setiap sekolah tahfiz menjaga keselamatan supaya perkara tidak diingini tidak berlaku dan memastikan sumbangan orang ramai diletak dalam tabung khas dana untuk wakaf tahfiz," katanya.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata peranan wanita amat penting dalam membentuk keluarga, masyarakat dan negara yang harmoni.
Turut diumum pada majlis itu sumbangan RM17,000 kepada Madrasah Ad-Dinniah Ar-Rahmaniah (ADRA), Sg. Imam yang terlibat dalam kebakaran kelmarin, iaitu masing-masing RM7,000 hasil kutipan derma pada majlis itu dan RM10,000 daripada Fuziah.
Turut hadir Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat dan Pengarah Yadim Sabah Samin Ongki.