Anda di sini

Bong bukan calang-calang pembikin filem Korea Selatan

Advertisement
 (Dari kiri) penulis skrip lakon layar Korea Selatan Han Jin-won, Bong dan penerbit Kwak Sin-ae bergambar bersama ketika menghadiri Augerah Tahunan Akademi Ke-92 di Hollywood, California baru-baru ini. — Gambar AFP
KEJAYAAN BERSAMA: (Dari kiri) penulis skrip lakon layar Korea Selatan Han Jin-won, Bong dan penerbit Kwak Sin-ae bergambar bersama ketika menghadiri Augerah Tahunan Akademi Ke-92 di Hollywood, California baru-baru ini. — Gambar AFP

PEMBIKIN filem Korea Selatan Bong Joon-ho sedang menikmati pengalaman yang agak ‘gila’ pada musim anugerah ini.

Pengalaman itu mencapai kemuncaknya pada Isnin lepas apabila dia mencipta sejarah dengan ‘Parasite’, filem bukan bahasa Inggeris pertama dalam sejarah untuk memenangi anugerah Filem Terbaik Oscar.

Filem itu, satira kejam mengenai jurang yang semakin meluas di antara golongan kaya dengan golongan miskin, membawa pulang empat Anugerah Akademi - untuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik dan Filem Cereka Antarabangsa Terbaik selepas ia memenangi anugerah Palme d’Or di Cannes, anugerah Golden Globe dan dua anugerah BAFTA.

“Kami tidak pernah menulis untuk mewakili negara-negara kami,” kata Bong yang berusia 50 tahun.

“Tetapi ini adalah anugerah Oscar yang pertama sekali bagi Korea Selatan. Terima kasih.”

Kemudian, ketika dia menerima hadiah untuk Filem Cereka Antarabangsa Terbaik, dia berkata dalam bahasa Inggeris, yang membuat hadirin ketawa: “Ya, saya sudah sedia untuk minum pada malam ini.”

Lama-kelamaan pada malam itu dan ‘Parasite’ asyik mengutip anugerah, Bong ternyata terharu.

“Ia sangat sukar untuk percaya. Ia adalah penghormatan yang begitu tinggi,” katanya di belakang pentas.

Bong - yang terkenal kerana filem-filemnya yang gelap dan berubah genre - sudah pun memiliki beberapa filem hit dari segi komersil dan menerima pujian pengkritik sebelum ‘Parasite’ dan merupakan antara wajah paling terkenal di Korea Selatan.

Kemenangannya pada malam terbesar di Hollywood dijangka akan membawanya ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Makna kemenangan Bong “tidak dapat dipandang rendah, baik untuk dunia perfileman Korea mahupun untuk dunia perfileman bukan bahasa Inggeris pada keseluruhannya,” kata Jason Bechervaise, seorang profesor di Universiti Siber Soongsil Korea, kepada AFP.

“Ia sudah pasti akan ditulis dalam buku sejarah.”

Golongan elit yang artistik

Bong membesar dalam sebuah keluarga artistik yang elit di Seoul - datuk sebelah ibunya merupakan seorang penulis novel yang terkenal, manakala mendiang bapanya dan semua adik-beradiknya adalah profesor-profesor universiti dalam bidang-bidang termasuk fesyen dan seni halus.

Dia belajar sosiologi di Universiti Yonsei yang berprestij di Korea Selatan dan dilaporkan mengambil bahagian dalam protes jalanan ketika dia belajar di sana sewaktu pergerakan prodemokrasi di negara itu pada zaman 1980-an.

Bong pernah memberitahu seorang penemuramah, dia telah ditangkap kerana menggunakan bom petrol.

Dia merupakan antara gelombang pertama pembikin filem Korea Selatan untuk berkembang selepas pendemokrasian negara itu sepenuhnya, yang membuka pintu bagi kebangkitan kebudayaan.

Filemnya ‘Memories of Murder’ - sebuah filem cereka pada 2002 berdasarkan pembunuhan bersiri dalam kehidupan sebenar yang menggegarkan negara pada zaman 1980-an - dilihat sebagai metafora bagi sebuah masyarakat yang menindas di bawah pemerintahan tentera.  

Filem ‘blokbuster’ Bong yang meletup pada 2006, ‘The Hoset’ menggambarkan sebuah kerajaan yang tidak cekap dan tidak berdaya selepas satu bencana berlaku.

Pada 2014, persamaan dibuat di antara filem tersebut dengan tragedi feri Sewol yang karam dan tenggelam sehingga mengorbankan 300 orang, kebanyakannya budak-budak sekolah.

Filemnya pada 2013 ‘Snowpiercer’ menggambarkan masa depan distopia di mana manusia terakhir di Bumi - yang terselamat daripada cubaan yang gagal untuk menamatkan pemanasan global - melakukan perjalanan yang tiada kesudahan di atas sebuah kereta api yang dipisahkan menurut kelas, dan kelas rendah memberontak.

Tilda Swinton, yang berlakon dalam ‘Snowpiercer’, turut berlakon dalam filem aksi-kembara sains fiksyen Bong terbitan Netflix pada 2017 ‘Okja’ iaitu tentang seorang gadis desa yang cuba menyelamatkan seekor makhluk yang diolah secara genetik daripada sebuah syarikat multinasional yang tamak.   

Quentin Tarantino - filem arahannya ‘Once Upon a Time ... In Hollywood’ memenangi dua anugerah Oscar pada Isnin lepas - pernah membandingkan pengarah Korea Selatan itu dengan “Steven Spielberg pada kemuncaknya.”

Bong “bukan seorang pembuat filem yang muncul secara tiba-tiba, dia merupakan seorang pengarah yang terbukti hampir 20 tahun dan sudah membuat filem-filem luar biasa,” kata Bechervaise kepada AFP.

“Dia juga sangat menawan dan suka bergaul. Ini adalah satu faktor, saya fikir, yang telah menentukan sejauh mana filem itu sudah pergi selepas melakukan ratusan wawancara, mungkin lebih, dan bergaul dengan pengundi dan golongan elit Hollywood.”

Subteks politik

Sepanjang kariernya, Bong sering menangani subjek yang gelap dan sukar termasuk jenayah ganas, penindasan sistematik dan krisis iklim.

Dia juga pernah bercakap dengan jujur mengenai kegelisahan yang teruk, di sebuah negara di mana kesihatan mental sudah sekian lama menjadi topik yang tidak boleh dibincangkan.

“Semua filemnya adalah sosiologi bergerak, dan semua filemnya mempunyai subteks politik,” kata Michael Hurt, seorang pakar sosiologi di Universiti Seoul.

“Semuanya amat diinokulasi dengan fikiran bersifat politik dan kritis dari segi sosial, tanpa menjadi berbunyi seperti khutbah atau jelas mengenainya. Tidak ramai pengarah lain yang dapat melakukan perkara ini.” —  AFP

Advertisement