Anda di sini

26 Mac sebutan semula kes Geng Kabali

Advertisement
 Kawalan ketat pasukan polis ketika membawa ahli Geng Kabali yang menghadapi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Kabali ke Mahkamah Sesyen di Seremban, semalam. — Gambar Bernama
SEBUTAN SEMULA KES: Kawalan ketat pasukan polis ketika membawa ahli Geng Kabali yang menghadapi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Kabali ke Mahkamah Sesyen di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan 26 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kabali’ yang dihadapi 19 lelaki.

Hakim Madihah Harullah menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Muhammad Asyraf Minhad memohon tarikh baharu bagi mengemukakan laporan forensik, yang masih belum diperoleh.

Mohd Izhanudin ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata pada tarikh itu juga, pihaknya akan turut mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Seremban.

Tertuduh R. Kamal Rajh, S. Ilangovan, L. Navinraj dan S. Sivabalan diwakili peguam V. Muniandy dan P. Rajsurian manakala S. Viven dan K. Sarugunan diwakili peguam A. Pathiban serta tiga lagi tertuduh S. Prabu, TSG. Ravikumar dan TSG. Kartik diwakili peguam Goh Chee Kian dan Paul Krishnaraja manakala S.S Subaramaniam diwakili S. Karthigesan.

Baki sembilan lagi tertuduh, SRC. Prakash Rao, U. Kartik, B. Kalaiarasan, G. Yuganraj, K. Shahithar, G. Murali, G. Thanaselan,  G. Kartik Rajah dan M. Puspalingam, tidak diwakili peguam.

Pada 9 Jan lepas, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Kabali.

Kesemua tertuduh yang berusia 18 hingga 50 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sebatang lorong kecil, di tepi jalan besar Batu 12 ½, Jalan Rantau-Siliau dalam daerah Seremban, antara 1 Feb hingga 27 Nov, tahun lepas.

Terdahulu, kesemua 19 individu tersebut tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada 9 pagi dengan kawalan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan.

Petugas media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah berikutan hanya ahli keluarga sahaja dibenarkan masuk untuk mendengar prosiding itu. — Bernama

Advertisement