Anda di sini

Swasta digalak sedia mesin pengimbas suhu badan

Advertisement
 
KUALA LUMPUR: Pihak swasta digalak untuk menyediakan mesin pengimbas suhu badan di premis masing-masing terutama di pintu masuk utama bangunan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata perkara itu dilihat dapat membantu kerajaan mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan mempunyai 80 mesin pengimbas suhu badan yang diletakkan di pintu masuk antarabangsa (PMA) di seluruh negara, dan jumlah itu dilihat mencukupi buat masa ini. 

"Walaupun harga mesin itu agak mahal sekitar RM40,000 namun kami tetap menggalakkan pihak swasta untuk sediakan mesin itu, contohnya kalau pihak hotel dapat sediakan itu dapat membantu kami (kerajaan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2020, di sini hari ini.

Mengenai kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Singapura berhubung COVID-19, Lee berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Bersama akan diumum minggu depan.

"Saya merancang untuk pergi ke Singapura atau Johor Bahru, tetapi saya perlu meniliti dahulu jadual waktu kedua-dua pihak dan jika pertemuan itu dapat diadakan minggu depan, kami akan menyokong sama ada ia akan diadakan secara bersemuka ataupun melalui sidang video,” katanya.  - BERNAMA

Advertisement