Anda di sini

Sebuah asrama desa akan dibina di Kemabong

Advertisement
 Jamawi bersama Ewon bertanyakan khabar kepada para pelajar yang menghuni sementara rumah (bangsal) semasa tinjauan tersebut.
BERTANYAKAN KHABAR: Jamawi bersama Ewon bertanyakan khabar kepada para pelajar yang menghuni sementara rumah (bangsal) semasa tinjauan tersebut.

KEMABONG: Sebuah asrama desa baharu untuk kemudahan murid Sekolah Menangah (SMK) dan Sekolah  Kebangsaan (SK) Kemabong yang tinggal jauh dari kawasan sekolah dan gagal  mendapatkan asrama akan dibina di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar berkata asrama desa ini akan memberikan kemudahan kepada para pelajar sekolah menengah dan rendah  terutamanya dari kampung yang jauh seperti kampung-kampung di Zon Bukit (Rundum, Sumambu, Kapulu, Katubu, Kengkawang, Kolorok, Paitan, Ungga) yang bukan sahaja kampung mereka terletak jauh dari sekolah tapi mereka juga menghadapi masalah dari segi sistem perhubungan jalanraya.

" Oleh kerana kemudahan asrama di SMK Kemabong agak terhad tidak dapat menampung permintaan pelajar yang  ramai dan berhasrat  tinggal di asrama  kebanyakan ibubapa yang terlibat membina rumah sendiri atau lebih dikenali 'bangsal' bagi menempatkan anak anak mereka agar tidak jauh dari sekolah dan tidak tercicir dari pendidikan, " katanya ketika di temui di sini baru baru ini.

Sebelum itu beliau mengiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick melawat dan ziarah beberapa bangsal (asrama) yang dibina oleh ibubapa pelajar di Kemabong Lama yang sebahagianya amat daif dan persekitaran yang kurang  selasa untuk pembelajaran.

Hadir sama Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual.

Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, beliau amat berterima kasih dengan sikap cakna Ewon terhadap masalah ini dan telah meluluskan peruntukan khas Menteri sebanyak RM100 ribu bagi membina sebuah asrama desa yang baharu.

" Saya amat berterima kasih dan menghargai keprihatinan Ewon dan kerajaan negeri  tentang masalah ini dan untuk tempoh terdekat ini saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Pejabat Pendidikan Daerah Tenom, Majlis Daerah Tenom (Pemilik Tanah) dan ADO Kemabong agar kerja kerja pembinaan dapat dilaksanakan segera," katanya.

Menurut Jamawi dengan terbinanya asrama desa yang baharu ini ianya bukan sahaja memberikan kemudahan kepada para pelajar yang terlibat namun dapat meningkatkan kehadiran murid di sekolah itu.

Jamawi  berkata beliau komited membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan akses kepada pendidikan dalam kalangan kanak-kanak di kawasan itu.

“Pendidikan adalah alat penting untuk meningkatkan kualiti hidup.

"Melalui pembinaan asrama desa seperti ini, sebuah bangunan yang berkualiti dapat kita sediakan sementara dari segi kemudahan lain kita akan usahakan kemudian.

"Dengan sokongan serta kerjasama rapat  kerajaan, pihak swasta  dan badan badan NGO  untuk membantu menyumbang ke arah menyediakan akses yang lebih baik kepada pendidikan di negeri ini , saya yakin kemudahan untuk kemajuan pendidikan di kawasan ini dapat dipertingkatkan," katanya.

Tambah  Jamawi, beliau percaya bahawa memperkasakan individu melalui pendidikan berkualiti,  berpengetahuan dan  berkemahiran merupakan kunci pembangunan modal insan yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga Malaysia,” katanya.

Advertisement