Anda di sini

Rumah Jaguar kekalkan kejuaraan Olahraga SKK SK Rancha-Rancha 2020

Advertisement
 Pasukan Rumah Kuning (Jaguar) merangkul juara keseluruhan dua tahun berturut-turut.
RUMAH KUNING: Pasukan Rumah Kuning (Jaguar) merangkul juara keseluruhan dua tahun berturut-turut.

LABUAN : Pasukan Rumah Kuning (Jaguar) mengekalkan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut selepas meraih 13 pingat emas, 6 perak dan 10 gangsa di Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) 2020 yang diadakan di Kompleks Sukan, Wilayah Persekutuan Labuan pada Ahad lalu.

Naib johan pasukan Rumah Merah yang mendapat 7 emas, 12 perak dan 13 gangsa dan tempat ketiga Rumah Biru dengan 6 emas, 8 perak dan 3 gangsa.

Bagi acara perbarisan pula, johan disandang Rumah Merah, diikuti Rumah Biru dan Rumah Kuning.

 Olahragawan dan Olahragawati 2020, Abdul Hannan dan Annis bergambar kenangan bersama Norinnie (kiri), Dr Mohammad Hamim (dua kiri), ASP Sukvinderjit (tiga kanan), Sarjan Hafizuddin dan Zulkipli (kanan).
ALBUM: Olahragawan dan Olahragawati 2020, Abdul Hannan dan Annis bergambar kenangan bersama Norinnie (kiri), Dr Mohammad Hamim (dua kiri), ASP Sukvinderjit (tiga kanan), Sarjan Hafizuddin dan Zulkipli (kanan).

Sementara itu, anugerah Olahragawan pula menjadi milik atlet Rumah Kuning, Abdul Hannan Hasan yang memperoleh 4 emas menerusi acara 100 meter, 400m, 4x100m dan 4x200m.

Rumah Kuning terus cemerlang menerusi atletnya, Annis Shakilah Rahman yang dinobatkan sebagai Olahragawati selepas membawa pulang 5 pingat emas dalam acara 100 meter, 200m, 4x100m dan 4x200m serta lompat jauh.

Majlis dimulai dengan acara balapan. Sebanyak lima jenis acara balapan peringkat akhir telah dipertandingkan mengikut kategori lelaki dan perempuan bagi murid tahap 2, tahap 1 dan PPKI.

Acara lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru bagi murid tahap 2 kategori lelaki dan perempuan telah diadakan pada 5 Februari lalu di padang sekolah berkenaan.

Sejurus acara balapan bermula, pengurus pasukan bersama peserta rumah sukan masing-masing bersemangat mengejar mata dan bersaing secara sihat merebut pingat yang dipertandingkan.

Acara diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu iaitu perbarisan.

Perbarisan lintas hormat dimulakan oleh Rumah Kuning (Jaguar), diikuti Rumah Merah (Panther) dan seterusnya Rumah Biru (Cheetah).

Pertandingan perbarisan yang menarik perhatian para hadirin dengan pelbagai maskot daripada setiap rumah sukan.  

Seterusnya, semua peserta perbarisan berkumpul di tengah padang mengikut rumah sukan masing-masing.

Tertib acara diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie Kassim.

Kejohanan Sukan Tahunan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SKK Rancha-Rancha, Dr Mohammad Hamim Mohammad Hanifah.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, ASP Sukvinderjit Singh A/L Chanan Singh dan Sarjan Mohammad Hafizuddin Augustine Abdullah dan Naib YDP PIBG, Hasan @ Hassan Jinin.  

Hadir sama Penolong-penolong Kanan, Midah Yusop (Pentadbiran), Shawal Abdul Rahman (PK HEM), Zulkifli Pabin (PK Kokurikulum) dan Rodhy Edward Anak Edward Jalin (PK Pendidikan Khas).

 

Advertisement