Anda di sini

Phoenix raih pelakon lelaki terbaik Oscar di sebalik kontroversi ‘Joker’

Advertisement
 JOAQUIN PHOENIX
JOAQUIN PHOENIX

PELAKON senarai A yang enigmatik Joaquin Phoenix memenangi anugerah Oscar bagi pelakon lelaki terbaik pada Isnin lepas untuk watak anti-hero yang dia bawa dalam kisah buku komik gelap ‘Joker’, untuk melengkapkan kebangkitan yang tidak dapat diramal dan selalunya tidak selesa sehingga menjadi bintang Hollywood.

Anugerah Akademi pertamanya menyusuli kontroversi selama berbulan-bulan berhubung cerita asal ‘arthouse’ tentang musuh utama Batman, yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia akan mengundang keganasan walaupun ia menerima banyak anugerah dan pencalonan.

 “Saya telah menjadi bajingan dalam hidup saya,” kata Phoenix dengan emosional kepada hadirin.

“Tetapi begitu ramai daripada anda dalam bilik ini telah memberi peluang kedua kepada saya dan saya rasa ketika itulah kita berada pada tahap terbaik, apabila kita menyokong satu sama lain – bukan apabila kita memadamkan satu sama lain kerana kesilapan silam, tetapi apabila kita membantu satu sama lain untuk berkembang,” katanya.

Phoenix yang berusia 45 tahun memberi penghormatan kepada mendiang abangnya River, yang mati kerana pengambilan dadah berlebihan pada 1993 di usia 23 tahun.

“Pergilah selamatkan orang dengan kasih sayang, dan kedamaian akan menyusul,” kata Phoenix, sambil memetik abangnya.

Selepas beberapa watak televisyen dan filem pada zaman remajanya, pelakon itu muncul di Tinseltown dengan watak budak jahat termasuk teman lelaki yang ganas dalam filem jenayah terbitan Oliver Stone ‘U Turn’ (1997) dan seorang pengurus kedai seks dalam filem aksi ‘8MM’ pada 1999.

Usaha yang menjadikannya seorang bintang itu mencapai kemuncak dengan lakonannya sebagai maharaja Romawi yang zalim Commodus yang menyeksa Russell Crowe dalam ‘Gladiator’ (2000), yang membantu Phoenix mendapatkan pencalonan Oscar pertamanya.

Phoenix mengubah haluan dan belajar menyanyi dan bermain gitar untuk meniru Johnny Cash dalam ‘Walk the Line’ pada 2005, yang membantunya mendapat pencalonan keduanya daripada pengundi Akademi.

Untuk filem itu, pelakon itu – seorang vegetarian yang tegas – menuntut agar pakaiannya diperbuat daripada sintetik dan bukan kulit haiwan, seperti apa yang dipakai oleh legenda country itu.

Lima tahun kemudian, Phoenix mengejutkan pengkritik dan peminat apabila dia membuat ‘I'm Still Here’, sebuah dokumentari palsu selepas dia kononnya mengalami masalah mental dan ingin menjadi seorang penyanyi rap.

Pencalonan Oscar ketiga datang dan pergi pada 2013 untuk filem yang diilhamkan oleh fahaman Saintologi ‘The Master’, yang menyaksikan Phoenix membawa watak seorang veteran yang ketagih arak dan menjadi murid sebuah kultus baharu pada tahun 1950-an dipanggil ‘The Cause’.

Pada Isnin lepas, dia bertuah pada kali keempat.

KEHILANGAN ABANG RIVER

 Phoenix menerima anugerah Oscar yang disampaikan oleh pelakon British, Olivia Colman pada majlis tersebut. — Gambar AFP
TAHNIAH: Phoenix menerima anugerah Oscar yang disampaikan oleh pelakon British, Olivia Colman pada majlis tersebut. — Gambar AFP

Phoenix yang lahir sebagai Joaquin Rafael Bottom di Puerto Rico, membesar dalam sebuah keluarga hipi yang mengikuti sekta ‘Children of God’, yang dihantui dakwaan tentang pencabulan seks.

Keluarganya, termasuk lima anak, meninggalkan pergerakan yang kejam itu di Venezuela ketika Joaquin berusia tiga tahun, dan berkeliaran di Amerika Utara sebelum mereka menetap di Los Angeles.

Di sana, ibu bapanya melantik seorang ejen untuk melancarkan karier anak-anak mereka.

Joaquin dan abangnya River mendapat watak televisyen pada awal tahun 1980-an.

Pada 1986, Joaquin yang ketika itu dikenali sebagai Leaf, membuat penampilan sulung dalam filem cereka dalam filem sains fiksyen ‘SpaceCamp’.

Tiga tahun kemudian, dia muncul dalam komedi arahan Ron Howard ‘Parenthood’.

Namun kariernya, sekurang-kurangnya pada mulanya, dibayangi kejayaan abangnya.

River Phoenix menjadi bintang kanak-kanak dengan watak dalam filem seperti drama 1986 ‘Stand By Me’ sebelum dia membawa watak Indiana Jones yang muda dalam ‘Indiana Jones and the Last Crusade’ (1989).

Joaquin berehat seketika daripada bidang lakonan selepas kematian River akibat pengambilan dadah berlebihan pada 1993 apabila rakaman panggilan kecemasan Joaquin untuk sebuah ambulans telah dijual kepada media.

Tetapi Joaquin yang baru-baru ini berkata dia 'terhutang budi' kepada abangnya kerana menyuruhnya untuk menjadi seorang pelakon, menerima watak penting dua tahun kemudian dalam ‘To Die For’, di sisi Nicole Kidman.

HILANG BERAT BADAN DENGAN EKSTREM UNTUK ‘JOKER’

Selain memenangi anugerah Oscar sebagai pelakon lelaki terbaik, Phoenix juga memenangi anugerah Golden Globe pada tahun ini bagi pelakon terbaik dalam sebuah drama untuk ‘Joker’, yang memenangi hadiah utama di festival filem Venice.

Dia menyifatkan watak itu, yang menyaksikannya menghilangkan lebih 50 paun berat badan untuk menghidupkan susuk kurus Arthur Fleck, “salah satu pengalaman paling hebat dalam karier saya”.

“Ia nampak tiada batas, dalam cara anda mentafsir watak itu dan apa yang anda dapat buat dengannya, ia tidak rasa seperti wujud sebarang peraturan,” kata Phoenix.

Dipuji sebagai 'penuh sensasi' dan 'meresahkan' oleh segelintir pengkritik, lakonannya menimbulkan kebimbangan orang lain bahawa cara yang menggambarkan penyakit mental dan keganasan mungkin ternyata menjadi 'pembakar'.

Phoenix, yang sudah pun terkenal kerana temu ramah di mana dia mudah merengus dan marah, enggan bercakap mengenai perkara itu ketika mempromosikan filem tersebut, malah bertindak meninggalkan bilik apabila seorang wartawan membangkitkan topik tersebut. — AFP

Advertisement