Anda di sini

Peruntukan RM2 juta untuk laksana BALBA tahun ini

Advertisement
 Ewon (tengah) ketika menerima kunjungan hormat  daripada JMG di pejabatnya.
KUNJUNGAN: Ewon (tengah) ketika menerima kunjungan hormat daripada JMG di pejabatnya.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, program BALBA adalah antara inisiatif baharu yang diperkenalkan kementeriannya bagi membantu penduduk luar bandar yang sering berhadapan dengan masalah bekalan air.

“BALBA adalah program pembekalan air dengan kaedah alternatif terawat sama ada menggunakan sistem paip air graviti dan telaga tiub atau sumber air bawah tanah di kawasan terpencil dan jauh daripada capaian sistem retikulasi Jabatan Air Negeri Sabah.

“KPLB Sabah bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah untuk mengenalpasti sumber air bawah tanah sebagai bekalan air kepada kampung-kampung di luar bandar, kerana mereka mempunyai kepakaran dan teknologi hidrogeologi mengenal pasti sumber air bawah tanah dan membina sistem telaga tiub bekalan air dari bawah tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, di pejabatnya, di sini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata,  peruntukan yang tersedia ini mencakupi kajian geofizik, pemasangan telaga tiub, bangunan pam dan rawatan air bawah tanah.

 “Pada masa yang sama, kita juga boleh memperbaiki telaga-telaga air sedia ada yang dibina penduduk kampung luar bandar dengan menggunakan kaedah terbaru 'Telaga Caisson' yang dibangunkan oleh JMG,” katanya.

Ewon berkata, kementeriannya akan menyediakan peruntukan untuk membina bangunan pam air dan rawatan air di Kg.Gaur dan Kg.Nahaba Kadamaian Kota Belud yang mana telaga tiub sudah siap dibina dan dipasang oleh JMG tahun lepas.

Dalam kunjungan itu beliau bersetuju untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Telaga Tiub SMK Tandek Kota Marudu pada 26 Mac ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Penanggung Timbalan Pengarah (Makmal) JMG Sabah Dr Morius Bantas dan disertai oleh Ketua Aktiviti GeoWarisan Jenneth Cyril, Ketua Aktiviti Geologi Alam Sekitar Fredolin Javino dan Ketua Aktiviti Hidrogeologi Jaineh Lingi.

Advertisement