Anda di sini

Operasi SAR seorang wira, Koperal Asman disambung pagi ini

Advertisement
 Kapten (M) Zainudin berkata sesuatu kepada pegawai polis terlibat.
BINCANG: Kapten (M) Zainudin berkata sesuatu kepada pegawai polis terlibat.

SANDAKAN:  Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Asman Ongkal yang merupakan seorang wira selepas menyelamatkan mangsa-mangsa bot penambang karam dalam perlanggaran dengan sebuah kapal ditunda oleh sebuah kapal lain berhampiran boya Pasar Besar Sandakan, pagi kelmarin, disambung semula jam 7 pagi, hari ini.  

Dalam kejadian lebih kurang jam 6 pagi, semalam, bot penambang dalam perjalanan dari Kampung Tanjung Aru ke pusat Bandar Sandakan yang membawa muatan 37 orang termasuk juragan terlanggar dengan sebuah kapal yang sedang ditunda oleh sebuah kapal lain ketika dalam perjalanan sebelum karam.

Seramai 28 orang pelajar sekolah menengah, 8 orang awam dan juragan berada dalam bot tersebut.

Koperal Asman Ongkal.
MASIH HILANG:Koperal Asman Ongkal.

Asman yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Batalion 15 PGA Sandakan dan juga penumpang bot tersebut telah bertindak menyelamatkan mangsa-mangsa lain sebelum dilaporkan hilang.

Akibat kejadian itu, seramai 15 orang dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan  dilaporkan tiga kritikal iaitu juragan bot, anaknya (pelajar) serta seorang pelajar. Manakala, 21 orang lagi terselamat.

Operasi hari kedua itu disambung hari ini bermula jam 7 pagi selepas ditangguhkan jam 6.30 petang, kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata operasi hari ini melibat dua buah bot Maritim Malaysia, tiga bot Pasukan Polis Marin, dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam, sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia, tiga bot  Pasukan Gerakan Am, sebuah Kementerian Kesihatan Malaysia dan 35 bot orang kampung.

"Operasi pencarian juga turut membabitkan sebuah aset udara, helikopter dari Maritim Malaysia," katanya.

Beliau berkata seramai 20 pegawai dan 143 anggota dari agensi terlibat dalam operasi pagi ini.

 "Operasi pencarian hari kedua yang disambung bermula jam 7 pagi tadi telah diperluaskan dengan keluasan sektor pencarian 49 batu nautika persegi," katanya.

  • oleh
  • Advertisement