Anda di sini

Mayat Koperal Asman ditemui terapung

KOPERAL ASMAN ONGKA
KOPERAL ASMAN ONGKA

SANDAKAN: Mayat Koperal Asman Ongkal yang hilang dalam tragedi bot berlanggar kapal ditunda pada Khamis, ditemui terapung di perairan berhadapan Masjid Daerah Sandakan, lewat petang ini.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata mayat ditemui sekitar jam 6.30 petang.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa dengan bot pasukan penyelamat ke Jeti Maritim Malaysia," katanya.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi isteri mangsa, Roslina Sari serta keluarga mangsa yang berada di Maritim Malaysia menunggu untuk membuat pengecaman mayat.

Zainudin berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk dibedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) disambung semula pagi hari ini, selepas ditangguhkan jam 6.30 petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Khamis, bot penambang dalam perjalanan dari Kampung Tanjung Aru ke pusat Bandar Sandakan membawa muatan 37 orang termasuk juragan terlanggar dengan sebuah kapal yang sedang ditunda oleh sebuah kapal lain ketika dalam perjalanan sebelum karam.

Seramai 28 orang pelajar sekolah menengah, 8 orang awam dan juragan berada dalam bot tersebut.

Asman yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Batalion 15 PGA Sandakan dikatakan telah bertindak menyelamatkan mangsa-mangsa lain sebelum dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, Zainudin berkata operasi SAR hari ini melibat beberapa aset pasukan keselamatan.

Ia termasuk dua bot Maritim Malaysia, tiga bot Pasukan Polis Marin, dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam, sebuah bot Tentera Laut

Diraja Malaysia, tiga bot  Pasukan Gerakan Am, sebuah Kementerian Kesihatan Malaysia dan 35 bot orang kampung.

Operasi pencarian turut membabitkan sebuah aset udara, helikopter dari Maritim Malaysia.

Beliau berkata seramai 20 pegawai dan 143 anggota dari agensi terlibat dalam operasi berkenaan.