Anda di sini

Maxsius mungkin terlepas aksi awal saingan Liga Super

Advertisement
 Maxsius mengalami kecederaan bahu semasa menentang Persija Jakarta yang memerlukan dia berehat kira-kira sebulan.
CEDERA: Maxsius mengalami kecederaan bahu semasa menentang Persija Jakarta yang memerlukan dia berehat kira-kira sebulan.

KOTA KINABALU: Kekalahan 2-0 Tambadau Sabah di tangan Persija Jakarta  dalam saingan Kumpulan B Piala Gabenor Jakarta Timur 2020 di Stadium Kanjuruhan, Malang Indonesia Khamis lalu turut diiringi dengan kehilangan khidmat pemain sayap Maxsius Musa.

Maxsius mengalami kecederaan bahu apabila bertembung dengan pemain Persija dan dikeluarkan pada babak kedua.

"Selepas perlawanan itu, Maxsius mengadu sukar untuk mengangkat tangan kirinya kerana bahunya sakit.

"Kami kemudian membawa dia (Maxsius) ke hospital dan doktor mengesahkan bahunya terlepas selepas ujian x-ray dilakukan," kata pengurus pasukan, Henry Saimpon ketika dihubungi di Indonesia.

Kecederaan itu memerlukan Maxsius berehat kira-kira sebulan sekaligus terlepas aksi awal saingan Liga Super musim ini di mana Tambadau Sabah akan memulakan cabaran menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan pada 1 Mac.

"Saya harap tidak ada lagi pemain mengalami kecederaan selepas ini agar persiapan kita menghadapi Liga Super yang hanya kira-kira dua minggu tidak terjejas," kata Henry.

Skuad Tambadau Sabah kini berada di Indonesia untuk perlawanan persahabatan dan menyertai Kejohanan Piala Gabenor Jakarta Timur 2020 yang juga aksi pra musimnya sebelum menghadapi kempen Liga Malaysia musim ini.

Tambadau Sabah akan menamatkan jadual perlawanan peringkat kumpulan menentang Persela Lamongan hari ini.

Ia mungkin hanya pelengkap jadual buat Tambadau Sabah kerana peluangnya ke pusingan seterusnya yang diperuntukkan kepada dua pasukan teratas hampir tertutup selepas kalah dua perlawanan sebelumnya.

Saingan peringkat kumpulan membabitkan empat pasukan itu menyaksikan Tambadau Sabah tewas 2-0 di tangan Arema FC perlawanan pertama dan kalah dengan jaringan sama pada perlawanan kedua menentang Persija.

Sebelum kejohanan, Tambadau Sabah juga tewas 1-3 di tangan Persebaya Surabaya dalam aksi perlawanan persahabatan.

Untuk perlawanan menentang Persela hari ini (Sabtu), ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto dijangka akan memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan dan yang masih kurang masa permainan.

"Saya harap para pemain akan lebih berhati-hati dan tidak terlalu ikut emosi ketika beraksi bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kecederaan berlaku.

"Tujuan utama kita ke sini (Indonesia) adalah untuk memantapkan keserasian pemain. Ini juga pesan Datuk Presiden," kata Henry merujuk kepada pesanan presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony.

Peter baru-baru ini  berkata, mereka tidak meletakkan apa-apa sasaran di kejohanan Piala Gabenor Jawa Timur itu tetapi perlu memanfaatkannya untuk mencari keserasian pemain bagi memantapkan pasukan.

  • oleh
  • Advertisement