Anda di sini

Kuala Lumpur rampas gelaran juara Bola Jaring MAKSAK Kebangsaan

 Semua pemain bergambar kenangan selepas aksi final di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda, Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
UNTUK ALBUM: Semua pemain bergambar kenangan selepas aksi final di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda, Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

LABUAN: Pasukan Bola Jaring Kuala Lumpur menewaskan Selangor 34-24 di perlawanan akhir Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Kebangsaan 2020 yang berlangsung di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda, Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Dengan kejayaan itu, Kuala Lumpur menamatkan penguasaan Selangor yang merupakan juara tiga tahun berturut-turut MAKSAK Kebangsaan sebelum ini.

Hasil daripada kemenangan itu, Kuala Lumpur membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, piala kejohanan dan medal.

Manakala Selangor selaku naib johan menerima hadiah wang tunai RM800 dan medal.

Tempat ketiga bersama dimenangi Angkatan Tentera Malaysia dan Perak yang masing-masing menerima RM800 dan medal.

Sementara itu, pasukan bola jaring dari Sabah dinobatkan sebagai penerima anugerah 'fair Play'.

Bagaimanapun kem Selangor masih ceria selepas pemainnya, Rozliana Mohd Ridwan dipilih sebagai Pemain Terbaik manakala pemain dari Terengganu, Siti Khadijah Abd. Halim menerima anugerah Pemain Harapan Terbaik.

Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik pula diberikan kepada pemain Perak, Yap Sou Kuen.

Pemain Kuala Lumpur, Nur Amisya Khairudin dipilih sebagai Penyerang Terbaik kejohanan yang disertai 16 pasukan dari seluruh negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang juga Yang Dipertua MAKSAK Labuan, Dr Fary Akmal Osman menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Setiausaha MAKSAK Malaysia, Radin Hedly Syah Radin Mohd Hambali.