Anda di sini

Ketam kalok akan dikomersilkan melalui sistem tagang

Advertisement
 Dr Abdul Rahman (tiga kanan) melepaskan benih ketam kalok di Sungai Nauran, Limbang semalam.
SISTEM TAGANG: Dr Abdul Rahman (tiga kanan) melepaskan benih ketam kalok di Sungai Nauran, Limbang semalam.

LIMBANG: Ketam kalok akan dikomersilkan melalui sistem tagang yang dibangunkan di Kampung Nauran dekat sini sebagai projek perintis di wilayah utara yang berpotensi dimajukan sebagai ekopelancongan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pada masa ini terdapat tiga tagang yang dibangunkan di Sarawak termasuk Kampung Bako (Kuching), Jerijih (Mukah) dan Kampung Nauran (Limbang).

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) projek Sistem Tagang menerima peruntukan RM9.1 juta untuk melaksanakan 127 projek seumpama itu di seluruh Sarawak.

“Untuk Bahagian Limbang, sebanyak RM607,350 peruntukan diterima melibatkan 17 projek sistem tagang iaitu empat projek di Limbang dan 13 di Lawas,” katanya pada pelepasan benih ketam dan udang galah di Projek Sistem Tagang Ketam Kampung Nauran semalam.

Turut sama Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak Alvin Aldreen Lewis, wakil Residen Limbang Aspalela Sahmoni, wakil Pegawai Pertanian Bahagian Christoper Dawat Anur, Ketua Kampung yang juga pengerusi sistem tagal kampung Osman Salleh.

ADUN Bukit Kota itu berkata lagi, sebanyak 3,100 ekor benih ketam yang dihasilkan pusat penetasan swasta Syarikat Ginger and Coconut dan 5,000 ekor benih udang dari Stesen Perikanan Darat di Punang, Lawas akan dilepaskan ke tagang sungai Nauran semalam.

“Sungai Nauran merupakan kawasan berpaya bakau dan terkenal dengan aktiviti penangkapan ketam terutama spesies kalok di bahagian Limbang dengan harga di pasaran sekitar RM17 hingga RM28 sekilogram mengikut saiz.

“Terdapat 60 penangkap ketam sepenuh masa beroperasi di sepanjang sistem tagang seluas 4.3 kilometer melibatkan zon merah (Lubok Batu Meligai), zon hijau (Lubok Sungai Bekanai) dan zon kuning (Kuala Sungai Nauran),” katanya lagi.

Beliau memberitahu, ketam mempunyai pasaran luas dan mendapat permintaan tinggi dan dianggarkan sebanyak 4.0 tan hasil tangkapan ketam diperolehi sebulan.

Dr Abdul Rahman berkata lagi, tagang ketam melibatkan komitmen komuniti, perundangan dan alam sekitar menggunakan sisten kouta.

Beliau berkata, nelayan ketam akan hanya dibenarkan menangkap beberapa kilogram ketam berasaskan biojisim ketam.

“Oleh itu jawatankuasa komuniti projek sistem tagang ketam Kampung Nauran bertanggungjawab untuk menjaga kawasan selain memantau sebarang aktiviti mencurigakan dan menangkap sebarang aktiviti salah laku para nelayan melibatkan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang,” katanya lagi.

Kerajaan Sarawak katanya, menyediakan pelbagai bantuan kepada nelayan sungai dan darat di seluruh Sarawak.

“Selain projek tagang, bahagian Limbang menerima peruntukan lain untuk menjalankan projek pembangunan akuakultur sejumlah RM6.8 juta dan Elaun Sara Hidup Nelayan bernilai RM691,200.

“Kerajaan negeri juga meluluskan RM9.1 juta untuk bantuan musim tengkujuh nelayan dan bantuan input peralatan perikanan sebanyak RM20 juta,” ujarnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement