Anda di sini

Kes samun guna pistol milik polis sedang disiasat: Polis Perak

 Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Perak antara V. R. Ravi (kiri) kepada ACP Lee pada majlis terima tugas di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, Ipoh semalam. — Gambar Bernama
PIKUL AMANAH: Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Perak antara V. R. Ravi (kiri) kepada ACP Lee pada majlis terima tugas di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Polis sedang melakukan siasatan dalaman berhubung satu kes samun menggunakan sepucuk pistol milik anggota polis di sebuah hotel di Menglembu di sini pada 24 Januari lalu, kata Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Hussain.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pistol itu dilaporkan tercicir oleh seorang anggota polis berpangkat koperal semasa bertugas di Tanjung Rambutan pada 15 Januari lalu.

Katanyanya siasatan turut dilakukan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi mengenal pasti kehilangan pistol Walther P99 yang digunakan dua suspek lelaki tempatan berusia 20 dan 27 tahun itu.

Kedua-dua suspek telah didakwa di mahkamah pada 6 Februari lepas, katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia Perak di sini, semalam.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua JSJN Perak daripada SAC V. R. Ravi Chandran kepada ACP Lee King Chuan berkuat kuasa semalam.

Lee yang sebelum ini timbalan ketua JSJN Perak menggantikan Ravi Chandran yang bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman. — Bernama