Anda di sini

Kenyalang Gold Card dijangka diserahkan kepada pemohon pada Mac

Fatimah menyaksikan penyerahan borang permohonan KGC dari Kho (empat kiri) kepada Irine (tiga kanan) di sini, hari ini. Turut kelihatan Tan Kai (dua kiri), Foo (dua kanan) serta ahli SUPP lain.

KUCHING: Kenyalang Gold Card (KGC) dijangka dikeluar dan diserahkan kepada pemohon pada 7 Mac depan sempena dengan pelancarannya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementerian menyasarkan sebahagian daripada kad dapat diserahkan kepada pemohon pada pelancaran yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg nanti.

"Buat masa ini, kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa bekerja lebih masa iaitu pada hujung minggu untuk memasukkan data ke dalam sistem.

"Kami berharap pemindahan data ini dapat dilakukan secepat mungkin dan kad dapat dikeluarkan kepada pemohon.

"Mungkin tidak dapat secara keseluruhan tetapi kami menyasarkan ia dapat diserahkan kepada sebahagian daripada pemohon pada 7 Mac semasa pelancaran di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan borang permohonan KGC daripada wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kepada JKM Sarawak (JKMS) di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Fatimah setakat 13 Februari 2020, sebanyak 87,953 permohonan KGC diterima di seluruh negeri dan kekal dengan Kuching antara yang tertinggi dari segi  jumlah permohonan, iaitu 23,366 permohonan.

"Di Kuching anggaran jumlah warga emas menurut Jabatan Statisik Malaysia adalah 103,600 yang turut merangkumi kawasan Lundu dan Bau.

"Ini bermakna 23,366 permohonan adalah bersamaan dengan 23 peratus daripada populasi warga emas di Kuching," katanya.

Sementara itu pada majlis terbabit, sebanyak 1,689 borang permohonan KGC menerusi Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa dan 1,632 permohonan dari SUPP Pending. 

Penyerahan berkenaan diwakili Ketua Wanita SUPP, Kho Teck Wan, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Tan Kai dan Setiausaha Agung Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo.

Penyerahan borang berkenaan disampaikan kepada Ketua Cawangan Khidmat Sokongan Sosial JKMS, Irine Andrew Ganggang.