Anda di sini

Kapal persiaran AS dihalang berlabuh kerana kebimbangan COVID-19 tiba di Kemboja

Advertisement
 Kapal persiaran Westerdam dilihat melintasi sebuah bot nelayan ketika ia menghampiri pelabuhan         di  Sihanoukville, di pantai selatan Kemboja semalam di mana ia telah menerima kebenaran untuk berlabuh selepas ditolak                           di beberapa pelabuhan Asia lain kerana kebimbangan mengenai jangkitan COVID-19 di atas kapal tersebut. — Gambar AFP
DIBENARKAN BERLABUH: Kapal persiaran Westerdam dilihat melintasi sebuah bot nelayan ketika ia menghampiri pelabuhan di Sihanoukville, di pantai selatan Kemboja semalam di mana ia telah menerima kebenaran untuk berlabuh selepas ditolak di beberapa pelabuhan Asia lain kerana kebimbangan mengenai jangkitan COVID-19 di atas kapal tersebut. — Gambar AFP

SIHANOUKVILLE: Sebuah kapal persiaran Amerika Syarikat (AS) yang dihalang daripada berlabuh oleh beberapa pelabuhan di Asia kerana kebimbangan bahawa seorang penumpang mungkin telah dijangkiti Novel Koronavirus (COVID-19) tiba di perairan Kemboja semalam, dan pelancong yang kecewa menyuarakan harapan bahawa kejadian yang mereka alami akan berakhir tidak lama lagi.

Kapal Westerdam sepa-tutnya membawa 1,455 penumpang untuk satu pelaya-ran impian selama 14 hari di sekitar Asia Timur, bermula di Hong Kong pada 1 Februa-ri dan turun pada Sabtu ini di Yokohama, Jepun.

Tetapi kapal itu ditolak oleh Jepun, Guam, Filipina, Taiwan dan Thailand kerana kebimbangan mengenai wabak COVID-19 yang sudah mengorbankan lebih 1,300 nyawa di China.

Pengendali pelayaran Holland America menegaskan kes virus ala Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu tidak ada di atas kapal itu dan Kemboja mengumumkan kelmarin bahawa kapal itu boleh berlabuh di Sihanoukville, di pantai selatan negara.

Pada sebelah pagi, kapal itu dapat dilihat di ufuk per-airan Sihanoukville, yang menyebabkan kapal nelayan kecil yang biasanya belayar di perairan itu kelihatan begitu kecil.

“Kali pertama darat kelihatan dari #Westerdam ketika matahari terbit di Kemboja,” kata penumpang Christina Kerby di Twitter.

Doktor menjalankan peme-riksaan kesihatan ke atas penumpang, kata Menteri Pengangkutan Sun Chanthol, dan menambah kira-kira 20 penumpang sakit.

Sampel mereka akan dihantar ke Institut Pasteur untuk membuat ujian bagi virus berkenaan.

Namun “mereka sebenarnya tidak ada simptom COVID-19. Kita hanya mahu memastikan segala-galanya okey,” katanya kepada AFP.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen merupakan sekutu China yang kuat dan lantang dalam sokongannya kepada cara Beijing menangani wabak itu, malah beliau telah melawat China pada minggu lepas untuk menunjukkan solidariti.

“Kebenaran untuk berlabuh adalah menghentikan penyakit ketakutan yang sedang berlaku di seluruh dunia,” beliau memberitahu laman sesawang media yang bersekutu dengan kerajaan Fresh News kelmarin.

“Kita mesti membantu mereka apabila mereka meminta bantuan kita,” tambahnya.

Negara jiran Thailand, yang menghalang kapal Westerdam daripada berlabuh di pelabuhan pantai timurnya, semalam menerima kapal persiaran Seabourne Ovation di bandar peranginan Phuket.

Sebuah lagi kapal MV Quantum of the Seas juga dijadual tiba semalam.

Kedua-dua kapal “tidak berisiko”, kata seorang pegawai, yang menambah pemeriksaan kesihatan dibuat sebelum penumpang dapat turun di pelabuhan selama 10 jam.

“Penumpang dan anak kapal datang dari Eropah, sesuatu yang berbeza daripada MS Westerdam yang mempunyai beberapa penumpang dari China dan Hong Kong,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan Atirat Ratanasate dalam satu paparan Facebook.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menyuarakan kebimbangan pada minggu lepas mengenai jangkitan yang mungkin berlaku dalam kapal Westerdam, dan berkata langkah akan diambil untuk “menolak kemasukan” bagi orang asing ke dalam negara itu.

Kemboja, yang mempunyai satu kes yang disahkan bagi virus tersebut, menerima berbilion dolar dalam bentuk pinjaman, infrastruktur dan pelaburan dari China.

Seorang penumpang kapal, Stephen Hansen, terdahulu memberitahu AFP dia kecewa kerana Thailand menolak kapal Westerdam tetapi berharap dia dapat turun di Kemboja.

“Kehabisan negara untuk dicuba!” katanya. — AFP

Advertisement