Anda di sini

GPS amat memerlukan sokongan padu rakyat, lindungi hak Sarawak

Advertisement
 Penguang menerima cenderahati daripada Ketua Kaum Kampung Pemindahan Marudi Azman Galau sambil disaksikan Monica dan Anyi (kiri).
UNTUKMU: Penguang menerima cenderahati daripada Ketua Kaum Kampung Pemindahan Marudi Azman Galau sambil disaksikan Monica dan Anyi (kiri).

MARUDI: Rakyat negeri ini perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri pimpinan GPS yang memerintah dan mentadbir urus Sarawak serta memastikan hak-hak rakyatnya terjaga dan dilindungi.

Oleh itu rakyat perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan GPS yang mentadbir Sarawak, demikian menurut Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil.  

“Kita harus membela dan menyokong ‘pihak’ kita sendiri dan ini termasuklah perjuangan kita mempertahankan hak kita seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan akta imigresen.

“Kita juga tidak mahu orang luar berniaga di negeri kita mengambil keuntungan khususnya dari Semananjung Malaysia,” tambahnya.

Penguang memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pemimpin Bersama Rakyat di Surau Nur Ikhsan, Kampung Pemindahan di sini, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Pengerusi Majlis Daerah Marudi (MDM) Kaunselor Edward Mendai, isteri Penguang Datin Monica Ukong Jaya dan ketua-ketua masyarakat setempat.

Menurut Penguang yang juga ADUN Marudi, memberitahu segelintir di Semenanjung masih berfikiran kolot dan beranggapan masih ada orang Sarawak tinggal di atas pokok atau di hutan dan sebagainya.

“Justeru rakyat Marudi jangan sesekali mendengar propaganda bohong dan tidak benar yang disebarkan oleh orang-orang luar tersebut, yang mempunyai agenda tersendiri.

“Biar orang (dari) Semananjung itu datang sendiri ke Sarawak supaya dia melihat atau menentukan sendiri khabar angin berkaitan, sama ada yang betul atau salah,” jelas Penguang lagi.

Untuk membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan di Marudi, Penguang berkata, konstituensinya itu sudah pun diberikan projek besar seperti Jambatan Marudi yang menyeberangi Batang Baram, Tebingan Sungai Marudi, dinding tebingan yang menelan belanja RM6.3.

Turut dibangunkan penambahan sambungan estet perindustrian mini di Kampung Pemindahan, berdekatan Mini Stadium di sini dan juga jalan raya dari Marudi ke Long Terawan untuk membolehkan pelancong datang ke Taman Negara Mulu dengan mudah.

“Tahun 2020 ini ialah tahun cabaran dan amat penting untuk perubahan di Marudi dan Baram amnya.

“Justeru itu, kita harus bekerjasama untuk menguatkan konstituensi kita untuk bersatu dan memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Penguang berkata, Dewan Serbaguna yang dicadangkan di Kampung Pemindahan sudah pun diluluskan dan akan dibina di Lot 222 di Kampung Pemindahan, yang sebelum ini telah ditolak oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kampung Pemindahan supaya kekal bersatu dan saling bekerjasama bagi memastikan projek yang dilaksanakan di kawasan mereka dapat dibangunkan dengan lancar.

Advertisement