Anda di sini

Gerawat bangga dengan kepimpinan ketua kaum muda, Tuai Rumah Sigan

Advertisement
 Gerawat menandatangani plak sebagai tanda perasmian ruai rumah panjang TR Sigan yang berwajah baharu.
RASMI: Gerawat menandatangani plak sebagai tanda perasmian ruai rumah panjang TR Sigan yang berwajah baharu.

MARUDI: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala melahirkan rasa bangga dengan kepimpinan Tuai Rumah (TR) Sigan Bawin iaitu ketua kaum termuda di bahagian Miri atau di negeri ini, kerana kemampuannya menyiapkan projek yang diberikan untuk rumah panjangnya.

Rumah panjang pimpinan TR Sigan yang berusia 26 tahun, telah menerima peruntukan sebanyak RM43,000 daripada Gerawat untuk membeli dan memasang jubin di ruai mereka dan kerja-kerja pemasangan tersebut berjaya disiapkan oleh penduduk rumah panjang itu dalam tempoh dua bulan sahaja.

Kini katanya, rumah panjang 40 pintu itu sudahpun memiliki ruai berjubin yang cantik serta bersih.

“Inilah bukti kepimpinan yang baik iaitu pemimpin yang dapat membawa anak-anak buahnya bersatu dan bekerjasama terutama dalam menjayakan projek yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka.

“Bagi saya ini adalah kerja yang amat cemerlang daripada seorang pemuda yang hanya berusia 26 tahun dan telah menunjukkan kemampuan memimpin,” kata Gerawat sambil menambah, umur bukan sesuatu yang diambil kira sebaliknya idea yang baik perlu dipakai untuk mentadbir rakyat.

Gerawat memuji usaha TR Sigan itu ketika mengadakan lawatan ke rumah panjang berkenaan yang terletak di Sungai Muam itu, baru-baru ini dan merasmikan ruai baharu yang sudah lengkap berjubin itu.

“Saya percaya kejayaan TR Sigan yang terus menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang adalah petunjuk bahawa beliau mempunyai hati yang baik dan mahu rumah panjangnya lebih maju dan membangun seperti mana rumah panjang orang lain,” kata Gerawat.

Mengenai permohonan geran oleh rumah panjang dalam kawasannya, Gerawat berkata, amat banyak telah dikemukakan kepada beliau tetapi tidak semuanya dapat diluluskan dengamn segera kerana perlu penelitian terlebih dahulu.

“Khususnya dari kawasan Poyut-Lubok Nibong, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta SIDS di kawasan tersebut, semua akan dibahagikan sama.

“Jadi bersabarlah kerana dalam kawasan Mulu, agak banyak rumah panjang, terutama di kawasan Poyut-Lubok Nibong,” jelasnya lanjut.

Di majlis itu juga Gerawat mengumumkan geran RM40,000 lagi untuk JKKK Rumah Sigan bagi menamping kos untuk meratakan bukit di belakang rumah panjang itu.

Selain itu, RM5,000 lagi untuk membina rumah untuk seorang ibu tunggal secara bergotong-royong.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Marudi Mackus Sibong, Pegawai Tadbir Nancy Abau, Pemanca Randie Bundan dan Penghulu Hillary Tawan Achai.

Advertisement