Anda di sini

FKAL UMSKAL anjur AIBC 2020 pada Ogos depan

Advertisement
 Geoffrey (empat kiri), Alvin Han Jiunn Kwang (tiga kiri), Mohamad Rizal (empat kanan) dan Dr Ricky Chia Chee Jiun (tiga kanan) bersama Pensyarah FKAL pada sidang akhbar AIBC 2020 di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL, Rabu lalu.
SIDANG AKHBAR: Geoffrey (empat kiri), Alvin Han Jiunn Kwang (tiga kiri), Mohamad Rizal (empat kanan) dan Dr Ricky Chia Chee Jiun (tiga kanan) bersama Pensyarah FKAL pada sidang akhbar AIBC 2020 di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL, Rabu lalu.

LABUAN: Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan mengadakan persidangan dwitahunan Applied International Business Conference 2020 (AIBC2020) di Hotel Tiara, Wilayah Persekutuan Labuan pada 15 - 16 Ogos depan.

Pengerusi Penganjur, Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, berkata tema untuk AIBC2020 adalah 'Analisis Perniagaan dan Harapan Pasaran' yang mengupas pelbagai cabaran yang berkaitan dengan bagaimana perniagaan sedang diusahakan, maklumat sedang diedarkan dan pengetahuan dipindahkan dalam kalangan pihak berkepentingan antarabangsa.

“Kolokium juga akan dianjurkan bersempena dengan AIBC2020,”katanya pada sidang akhbar sempena AIBC2020 yang diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL, Rabu lalu.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan FKAL, Dr Sharinah Puasa (Penyelidikan dan Inovasi), Dr Suzillah Sidek (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Timbalan Pengerusi AIBC2020, Dr Ricky Chia Chee Jiun.

Hadir sama Pensyarah FKAL yang juga AJK Penganjur AIBC2020.

Tambah Geoffrey, AIBC2020 akan menyediakan platform untuk pelbagai kumpulan yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pengamal dan pembuat dasar untuk mewujudkan rangkaian dan pertukaran pandangan dan penemuan penyelidikan mengenai isu-isu perniagaan dan pasaran masa kini yang berkaitan dengan kawasan tempatan dan dunia global.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan peluang profesional dan maklumat perniagaan, pengetahuan dan pembangunan penyelidikan di kalangan ahli akademik dan pengamal,”katanya.

Persidangan tahun ini akan dianjurkan bersama dengan China Construction Bank (CCB) yang baru-baru ini telah membuka cawangan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan CCB Cawangan Labuan, Alvin Han Jiunn Kwang, berkata kerjasama antara CCB dan UMSKAL adalah tepat pada masanya.

“AIBC2020 juga memberi peluang untuk membincangkan isu-isu tempatan dan antarabangsa mengenai pergerakan pasaran,”katanya yang juga Pengerusi Penganjur Bersama AIBC2020.  

Dekan FKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid pula menyatakan bahawa kolokium ini akan menyediakan platform bagi pelajar pascasiswazah untuk membentangkan kertas kerja mereka berkaitan dengan tema persidangan.

Tambahnya, program ini akan dibuka kepada semua pelajar pasca siswazah antarabangsa dan tempatan.

Kata Mohamad Rizal, persidangan antarabangsa ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi FKAL dan UMSKAL kerana ia membantu mempromosikan Fakulti, Universiti dan juga WP Labuan berhubung dengan perbincangan akademik dan dasar yang berkaitan dengan trend perniagaan semasa di rantau Asia.

Persidangan ini dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia, Datuk Darrell Liking.

AIBC2020 dijangka akan menerbitkan  lebih 100 kertas kerja yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan, Teknologi Pendidikan, Ekonomi Digital, Perkongsian Ekonomi, Pelancongan Berkelanjutan, FinTech, Pelaburan Modal Insan, Psikologi dan Pemasaran, Kewangan Hijau, Kemiskinan Moden dan Perhambaan dan Perbankan dan Kewangan Islam.

Kertas persidangan yang diterima akan mempunyai peluang untuk dijemput bagi menerbitkan karya mereka dalam enam jurnal bereputasi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
The 4th Applied International Business Conference 2020 (AIBC 2020)
Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan
Universiti Malaysia Sabah
Kampus Antarabangsa Labuan
Tel:    +6087-598128 / 087-460486
Laman Web: https://submit.confbay.com/conf/aibc2020
 

Advertisement