Anda di sini

Bank pelaburan turunkan unjuran pertumbuhan KDNK 2020 kepada 4.0-4.4%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank-bank pelaburan menurunkan unjuran mereka bagi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada antara 4.0-4.4 peratus berikutan penularan COVID-19.

Menurut Maybank Investment Bank Research, semakan semula itu adalah untuk mencerminkan kesan penularan COVID-19 ke atas ekonomi China dan impaknya terhadap sektor dan industri berkaitan pelancongan serta perjalanan serantau, rantaian bekalan global dan aktiviti perdagangan dunia.  

“Kami juga melaraskan unjuran permintaan luaran bersih tahun ini turun kepada  -2.0 peratus daripada -1.7 peratus sebelumnya kerana kami mengambil kira pertumbuhan sebenar 2019 lebih rendah daripada yang dianggarkan iaitu pada 8.9 peratus.

“Kami mengekalkan unjuran 2020 kami bagi eksport dan import barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 1.1 dan 1.5 peratus meskipun angka lebih lemah daripada dijangkakan pada tahun lepas, dengan itu asas rendah masing-masing pada -1.1 dan -2.3 peratus, membayangkan prospek pemulihan perdagangan luar kurang memberangsangkan tahun ini memandangkan jangkaan gangguan sementara COVID-19 terhadap rantaian bekalan global dan aktiviti perdagangan serta turun naik harga komoditi,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya semalam.

RHB Research, yang me-nurunkan unjuran pertumbuhannya kepada 4.0 peratus daripada 4.3 peratus sebelumnya berkata, penularan virus itu mungkin bukan sahaja mengurangkan kedatangan pelancong tetapi juga membawa kepada gangguan bekalan di China dan impak-nya ke seluruh dunia.

“Bagaimanapun, cadangan pakej rangsangan kerajaan yang dijangka diumumkan tidak lama lagi sedikit sebanyak menyediakan imbangan, dengan pemulihan dijangka dilihat dalam separuh kedua tahun ini,” kata firma penyelidikan itu dalam nota berasingan.

Sementara itu, Ambank Research turut berpandangan yang sama bahawa pertumbuhan tahun ini akan menyusut disebabkan oleh COVID-19.

“Oleh itu, ekonomi dijangka berada sekitar 4.0 peratus pada 2020, yang merupakan kes asas kami dengan penurunan sekitar 3.0 peratus sekiranya kejutan luaran negatif menjadi semakin ketara,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.  

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berpandangan risiko menurun kepada potensi pertumbuhan Malaysia dapat dijangkakan daripada langkah-langkah dasar yang termasuk rangsangan fiskal dan intervensi monetari, terdiri daripada kadar dasar semalaman dan keperluan rizab statutori.

“Kerajaan akan melancarkan pakej rangsangan tidak lama lagi, yang disasarkan kepada industri yang terjejas seperti pelancongan, runcit dan syarikat penerbangan, sekiranya penularan COVID-19 berpanjangan dan menjejaskan ekonomi,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan semalam.

Mengenai ringgit, ia berkata prestasi tidak menentu dijangka berterusan tahun ini memandangkan cabaran luaran dan risiko menurun kepada harga minyak serta impak ekonomi akibat daripada penularan COVID-19.

“Sebaliknya, pemangkin kepada ringgit mungkin datang daripada asas kukuh dan perdagangan berdaya tahan Malaysia. Penggunaan kukuh kita mungkin juga melindungi negara daripada cabaran luaran semasa peningkatan keadaan tidak menentu luaran.

“Usaha pembaharuan pesat kita, terutamanya dalam kualiti institusi, merupakan satu lagi faktor yang boleh menjadikan Malaysia menarik di mata pelabur,” kata Public Investment Bank.

Bagaimanapun, ia berkata ringgit mungkin terus berdepan dengan risiko daripada satu lagi pusingan intervensi dasar dan risiko menurun bagi minyak.

“Memandangkan perkara ini, kami mengurangkan unjuran ringgit kami bagi 2020 kepada RM4.10 berbanding dolar AS daripada RM4.025 sebelumnya di atas sokongan ringgit yang dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.05 – RM4.15 berbanding dolar AS bagi tahun ini,” kata bank pelaburan itu. — Bernama

Advertisement