Anda di sini

3 Mac sebutan lanjut kes lelaki dituduh miliki dadah

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menangguhkan sehingga 3 Mac depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Penangguhan itu dibuat Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa ASP Mary Ong.

Dalam permohonannya, Mary memohon agar kes ditangguhkan ke satu tarikh yang baharu untuk disebut lanjut sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes disiapkan.

Francis Lawai Jau, 34, dari Taman Bumiko di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan sementara, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.78 gram.

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam12.20 tengah malam, 27 November 2019 di sebuah bilik sewa tidak bernombor di tingkat dua sebuah lot di Jalan Airport di sini.

Tertuduh yang gagal mengemukakan wang jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan kemudian diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.