Anda di sini

Renee Zellweger kembali hebat dengan Oscar kedua

Advertisement
RENEE ZELLWEGER
RENEE ZELLWEGER

ANUGERAH Oscar yang diterima oleh Renee Zellweger sebagai aktres terbaik pada Isnin lepas bagi wataknya sebagai Judy Garland yang melakukan jelajah kebangkitan pada hujung hayatnya dalam filem ‘Judy’ menandakan kebangkitan yang mengejutkan untuk kariernya sendiri yang berbagai-bagai.

Wanita genit berambut perang dari Texas itu naik dengan cepat untuk sampai ke peringkat atasan di Hollywood pada awal tahun 2000-an, dan menerima tiga pencalonan Anugerah Akademi berturut-turut - termasuk satu kemenangan untuk lakonannya sebagai seorang gadis ladang yang lasak dalam filem ‘Cold Mountain’ pada 2003.

Tetapi selepas siri filem hit yang menakjubkan itu, kariernya menjunam dan Zellweger bercuti panjang daripada bidang lakonan pada 2010.

“Saya menjadi bosan dengan bunyi suara sendiri, sudah tiba masanya untuk pergi dan menjadi matang sedikit,” dia kemudian menjelaskan, dan menambah dia mengidamkan interaksi manusia biasa dan ‘menjumpai ketanpanamaan’.

“Anda tidak dapat menjadi penglipur lara yang bagus jika anda tidak ada pengalaman hidup, dan anda tidak dapat memahami orang,” tambahnya.

Selepas disegarkan semula, dia kembali pada 2016 dengan beberapa projek lebih kecil.

Namun lakonannya yang ranggi tetapi lemah sebagai legenda dunia hiburan Garland dalam Judy menandakan kebangkitan yang besar bagi aktres berusia 50 tahun itu.

“Judy Garland tidak menerima penghormatan ini pada zamannya. Saya pasti bahawa saat ini adalah lanjutan kepada keraian legasinya yang bermula di set penggambaran kami,” kata Zellweger kepada hadirin di Dolby Theatre.

Zellweger menyapu bersih musim anugerah apabila dia memenangi anugerah Golden Globe, anugerah Screen Actors Guild, anugerah BAFTA dan anugerah Spirit kerana kerjanya yang menarik.

Filem itu menceritakan tentang ketibaan Garland di Swinging London pada musim salji 1968 untuk mengadakan persembahan yang laris selama lima minggu di kelab malam The Talk of the Town.

Walaupun penyanyi itu berusia hanya 46 tahun ketika itu, Garland sudah menjadi bintang filem selama tiga dekad berkat filem ‘The Wizard of Oz’.

Gaya hidup Hollywood dan empat rumah tangga yang gagal telah meninggalkan kesan, seperti yang diketengahkan oleh lakonan Zellweger yang hebat.

Namun Judy menyaksikan Garland memberikan segalanya kepada konsert yang dia adakan, tanpa mempedulikan kesihatannya sendiri yang semakin pudar.

Watak berisiko

Zellweger, yang lahir pada April 1969 kepada ibu bapa yang berasal dari Norway dan Switzerland di bahagian luar bandar dalam negeri yang digelar ‘Lone Star State’, memulakan kariernya dengan watak latar belakang dalam filem-filem bebas dan berbajet rendah.

Selepas dia datang ke Hollywood, dia menerima beberapa watak kecil sebelum dia dipilih untuk berlakon dalam filem Ben Stiller pada 1994 ‘Reality Bites’.

Tetapi dia pertama kali menarik perhatian orang ramai dua tahun kemudian apabila dia membawa watak seorang ibu tunggal yang menjinakkan seorang ejen sukan yang gopoh, lakonan bintang Tom Cruise, dalam ‘Jerry Maguire’.

Sejak itu, kariernya – sama seperti usaha Garland di London – telah ditentukan oleh beberapa watak berisiko yang dia sendiri kadang-kadang tidak pasti sama ada dia dapat membawanya ataupun tidak.

Pada 2001, dia menambah berat badan 20 paun (kira-kira 10 kilogram) dan bercakap dengan loghat British yang meyakinkan untuk membawa watak seorang wanita bujang yang cemerkap namun mudah disayangi dalam filem amat popular ‘Bridget Jones’ Diary’.

Lakonannya mengejutkan mereka yang meragui sama ada dia dapat bercakap dalam loghat itu atau membawa watak Jones yang sangat tidak anggun. Sejak itu dia sudah membawa watak itu dalam dua sekuel.

Zellweger terpaksa belajar menyanyi dan menari untuk membawa watak wanita yang ingin menjadi penyanyi kelab malam Roxie Hart dalam filem ‘Chicago’ pada 2002 – yang menyaksikannya menerima satu lagi pencalonan Oscar.

“Saya suka membuat sesuatu yang saya tidak fikir saya dapat buat,” kata aktres itu ketika itu. “Jika tidak, apa gunanya?”

Anugerah Oscar pertama Zellweger untuk aktres pembantu terbaik diperolehi dalam filem cinta epik pada waktu Perang Saudara, Cold Mountain.

Dia membawa watak seorang gadis Carolina Utara yang kasar namun praktikal, yang berkawan dengan watak perempuan Selatan yang terlindung dan kurang kasih sayang lakonan Nicole Kidman, dalam adaptasi Anthony Minghella bagi buku tulisan Charles Frazier.

Zellweger mengahwini penyanyi country Kenny Chesney pada 2005, tetapi perkahwinan itu dibatalkan selepas hanya beberapa bulan sahaja.

Selepas Cold Mountain, watak-wataknya kurang berprofil tinggi dan dia hilang selama beberapa tahun pada 2010.

Sebelum Judy, dia kembali ke televisyen pada 2019 untuk membintangi siri antologi Netflix, ‘What/If’. – AFP

Advertisement