Anda di sini

Projek dan bantuan rakyat melebihi janji manifesto

Advertisement
Abdullah, Yusuf dan Ding bersama tetamu lain pada Majlis Terbuka Tahun Baru Cina di Sungai Sian, Bintangor.


KUCHING: Kesungguhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkhidmat untuk rakyat dibuktikan dengan pelaksanaan dan perancangan projek rakyat dan sumbangan kebajikan yang melimpah-ruah.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol yang berkata demikian, menambah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak sekadar omongan kosong.

"Kita tidak mahu memberi janji yang pelik-pelik semata-mata hendak meraih sokongan politik. Hasil kerja akan menjadi bukti kesungguhan wakil-wakil rakyat GPS bekerja," katanya berucap pada Majlis Terbuka Tahun Baru Cina di Sungai Sian, Bintangor, hari ini.

 

Menurutnya, rakyat perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Umum 2018, yang menyaksikan banyak janji indah diberikan oleh Pakatan Harapan (PH).

Namun setelah menang, PH gagal mengotakan janji, katanya.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata lagi, rakyat Sarawak berbilang kaum perlu terus bersatu padu dalam mempertahankan hak dan kepentingan negeri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab menyeru rakyat agar menyokong GPS demi pembangunan Sarawak yang berterusan.

Tegasnya, usah terpengaruh dengan PH yang ternyata telah memungkiri janji.

"Kepimpinan GPS diketuai Abang Johari berjaya menunaikan janji manifesto pilihan raya lepas.

"Malah banyak projek pembangunan dan bantuan rakyat yang tidak dijanjikan ada dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Meradong Ding Kuong Hiing menyeru masyarakat Cina di Sungai Sian agar terus menyokong GPS yang diwakili Abdullah di N42 Semop.

"Abdullah telah berkhidmat dengan baik dan memberi perhatian yang adil terhadap masyarakat berbilang kaum di N42 Semop," ujarnya.

Menurut Kapitan Pat Kam Peng, masyarakat Cina di Sungai Sian telah membuktikan sokongan mereka kepada Abdullah menerusi dua pilihan raya negeri yang lepas.

"Majoriti besar masyarakat Cina Sungai Sian mengundi Abdullah," ujarnya.

Pada majlis itu, Abdullah menyampaikan sumbangan RM20,500 kepada lima organisasi.

Untuk PIBG SJK (C) Ming Shing Sg Sian RM7,000; JKKK Sg Sian (RM5,000); Kelab Badminton BEAT Team Bintangor (RM4,000); Kelab Rekreasi IPD Meradong (RM2,500); dan Kelab Gusti Lengan Bintangor (RM2,000).

Advertisement