Anda di sini

MIDF ceriakan sambutan Tahun Baharu Cina Kampung Baru Sungai Chua, Kajang

 Ong Kian Ming berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina Kampung Baru Sungai Chua, Kajang yang berlangsung baru-baru ini.
RAIKAN BERSAMA: Ong Kian Ming berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina Kampung Baru Sungai Chua, Kajang yang berlangsung baru-baru ini.

KAJANG:  Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ceriakan sambutan Tahun Baharu Cina menerusi sumbangan 100 hamper makanan kepada warga emas di dalam sebuah majlis khas baru-baru ini.

Program amal tahunan ini dianjurkan oleh Parlimen bahagian Bangi bersama-sama MIDF dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat Timbalan Menteri MITI, Ong Kian Ming bersama Ketua Divisyen Kewangan Pembangunan MIDF, Azizi Haji Mustafa di Gelanggang Bola Keranjang Sungai Chua di sini.  

Selain dari sumbangan hamper, para tetamu turut dihiburkan dengan aktiviti bertema perayaan seperti tarian naga, kugiran dan juga tarian tradisional.

Acara amal tahunan ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat MIDF untuk membantu  meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam perkembangan lain, MIDF telah menyumbangkan sebanyak 200 hamper kepada warga emas dan golongan yang kurang bernasib baik di Penampang, Sabah sewaktu majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diserikan dengan kehadiran Menteri MITI, Datuk Darell Leiking pada malam Rabu lalu.