Anda di sini

Malaysia mampu tingkatkan kedudukan daya saing menerusi inisiatif swasta, kerajaan

Advertisement
Abdul Latif (kanan) menyaksikan Abang Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil industri pada majlis malam tadi. - Gambar oleh Chimon Upon.
Abdul Latif (kanan) menyaksikan Abang Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil industri pada majlis malam tadi. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Malaysia mampu memperbaiki kedudukan daya saingnya ke peringkat lebih tinggi menerusi kerjasama semua pihak termasuk swasta.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia terbaharu pada Oktober tahun lepas, Malaysia berada di kedudukan ke-12 daripada 190 negara.

"Kalau boleh kita harus perbaiki kedudukan dalam bidang ini kepada 10 terbaik dan kita percaya ia dapat dicapai menerusi inisiatif-insiatif yang dilakukan kerajaan bersama swasta.

"Begitu juga dengan Laporan Daya Saing Global oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sekarang Malaysia pada kedudukan ke-27 dan kita berharap dapat memperbaiki ia kepada kedudukan 20 pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam MPC Sarawak bersama Industri dan Pengamal Media yang dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MPC Sarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg di sini, malam tadi.

Tambah Abdul Latif, laporan-laporan berkenaan amat penting sebagai kayu ukur kepada pelabur untuk melihat Malaysia sebagai negara menyediakan persekitaran kondusif untuk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata pada masa yang sama untuk memperbaiki kedudukan berkenaan ia juga memerlukan kajian dari segi semua peraturan menjalankan perniagaan termasuk prosedur mendapatkan lesen serta permit.

"Ini kerana keperluan mendaftar serta mendapatkan permit adalah merupakan alat peraturan digunakan oleh ahli perniagaan agar mereka patuh," katanya.

Abdul Latif memberitahu, dalam Laporan Bank Dunia pada 10 hingga 12 tahun lepas, Malaysia berada pada kedudukan 113 daripada 190 buah negara dalam urusan mendapatkan permit pembinaan.

Dalam laporan berkenaan katanya, menunjukkan bahawa di Malaysia pada ketika itu terdapat 37 prosedur yang mengambil masa 260 hari untuk memperolehi semua kelulusan dalam mendapatkan permit pembinaan.

"Bagaimanapun pada tahun yang sama Singapura hanya mempunyai 10 prosedur dan dalam masa 30 hari mendapat kelulusan dalam perkara sama..jadi sebagai pelabur anda akan memilih mana?," katanya. 

Hasil maklum balas daripada laporan berkenaan beliau memberitahu satu penyelesaian telah dilakukan dengan memanggil semua agensi berkaitan pembinaan bangunan.

"Daripada 37 prosedur kita dah kurangkan kepada sembilan sahaja dan daripada 260 hari kelulusan kita dapat kurang 54 hari," tegasnya sambil memberitahu kini Malaysia berada pada kedudukan kedua dalam laporan terbabit.

Advertisement