Anda di sini

Lelaki ditetak lapor cubaan curi buah sawit

Advertisement
 Suspek yang ditahan.
SUSPEK: Suspek yang ditahan.

LAHAD DATU: Akibat melaporkan cubaan mencuri buah kelapa sawit keluarga sendiri, seorang lelaki hampir putus tangan akibat ditetak parang di Kampung Sinakut, Tungku, di sini.

Suspek, 25, dikatakan tidak berpuas hati dengan teguran mangsa, 52, yang melaporkan hal berkenaan ke pengetahuan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa ke rumah suspek untuk bertemu keluarganya dan membincangkan mengenai perbuatan suspek kira-kira jam 5.30 petang.

“Ketika mangsa berbincang mengenai hal itu, suspek yang tidak puas hati dengan teguran terus melibas parang ke arah mangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Nasri berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kiri dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

"Mangsa kini dilaporkan menerima rawatan di wad dan dalam keadaan stabil," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bersama anggota Balai Polis Desa Kencana menjalankan siasatan lanjut dan menahan suspek.

Katanya, suspek diberkas di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada hari yang sama, jam 11.30 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement