Anda di sini

Kerajaan pandang serius masalah dihadapi pemain industri pelancongan

Advertisement
 Mohamaddin (tiga kiri), Mario (tiga kanan) bersama tetamu jemputan lain menunjukkan kad promosi Persidangan PATA ATCM 2020.
PERSIDANGAN: Mohamaddin (tiga kiri), Mario (tiga kanan) bersama tetamu jemputan lain menunjukkan kad promosi Persidangan PATA ATCM 2020.

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memandang serius kekangan yang terpaksa dihadapi pemain industri pelancongan berikutan penurunan jumlah pelancong ke negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya menjalankan beberapa siri perjumpaan dengan pihak berkenaan bagi mengenal pasti masalah para pemain industri dengan lebih terperinci.

Menurutnya, setakat ini lebih kurang 5,000 kumpulan pelancong membatalkan tempahan ke Malaysia dan ia memberi impak kepada pendapatan pemain industri pelancongan.

"Pihak perhotelan turut mengalami penurunan jumlah penginapan hotel sehingga 30 peratus.

"Di samping itu, pembatalan bagi tempahan pelancongan dalam negeri (inbound) dan luar negara (outbound) turut mencatatkan jumlah yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Persidangan dan Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA ATCM) 2020 di sini.

Mohamaddin berkata, kementerian memutuskan akan membantu menangani isu-isu dibangkitkan oleh pemain industri  yang terjejas akibat kurang jumlah pendapatan.

"Sekarang ini kita masih mengambil maklumat lanjut untuk menyediakan bantuan kepada mereka melalui pakej-pakej rangsangan dalam masa terdekat.

"Kita turut menjalankan sesi 'townhall' bersama pemain industri di beberapa negeri termasuklah Sabah, Pulau Pinang, Johor, dan Selangor," katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat penganjuran PATA ATCM 2020 adalah satu platform terbaik untuk mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia.

Menurutnya, seramai 368 peserta dari 33 negara bersama 45 pembeli, 65 penjual, 51 organisasi pelancongan, dan 12 pembentang terpilih terlibat sepanjang tiga hari persidangan berkenaan dijalankan.

Selain itu, seramai 36 wakil media luar negara turut hadir untuk membuat liputan sempena PATA ATCM 2020.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PATA Dr. Mario Hardy, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

  • oleh
  • Advertisement