Anda di sini

Guaido kembali ke Venezuela, pergaduhan meletus

Advertisement
 Guaido diapit pengiring keselamatan ke keretanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivia di Maiquetia, negeri Vargas, Venezuela kelmarin. — Gambar AFP
IRING: Guaido diapit pengiring keselamatan ke keretanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivia di Maiquetia, negeri Vargas, Venezuela kelmarin. — Gambar AFP

CARACAS: Ketua pembangkang Juan Guaido pulang ke Venezuela kelmarin selepas jelajah membina sokongan antarabangsa dan menyeru kepada rakyat di negara yang mengalami krisis itu untuk terus menekan Presiden Nicolas Maduro.

Guaido – yang mengingkari larangan perjalanan untuk melawat Colombia, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan beberapa negara Eropah – disambut oleh penyokong yang bersorak di lapangan terbang antarabangsa di luar ibu negara Caracas.

“Kami berada di Caracas sekarang. Saya membawa balik bersama saya komitmen dunia bebas, bersedia untuk membantu kita mendapatkan semula demokrasi dan kebebasan,” tulis Guaido di Twitter, sebelum dia meletakkan gambar dirinya sendiri di kawalan pasport dalam Twitter dengan kapsyen “TANAHAIR”.

Sejurus sebelum ketibaannya, pergaduhan meletus di antara pengikutnya – termasuk beberapa penggubal undang-undang – dan penyokong Maduro.

“Guaido, fasis!” laung pekerja syarikat penerba-ngan kerajaan Conviasa, yang tertakluk kepada sekatan AS pada minggu lepas, yang telah memasuki kawasan di mana penyokong pemimpin berusia 36 tahun itu sedang menunggunya. Beberapa diplomat turut ada di sana.

Video yang berkisar dalam media sosial dipercayai me-nunjukkan Guaido disembur dengan soda oleh pekerja syarikat penerbangan. Ketua pembangkang itu seakan-akan tidak mempedulikannya dan ketawa.

Pengiring keselamatan mengapit ketua pembangkang itu – yang memakai baju putih dan salib kayu pada lehernya – apabila dia memasuki sebuah kendera-an putih untuk pergi ke Caracas.

Selepas lawatannya ke luar negara – termasuk pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump, yang mengancam untuk “menghancurkan” rejim Maduro – Guaido berjanji sekatan baharu “ke atas pemerintahan kuku besi” akan dibuat tidak lama lagi, dan menuntut protes baharu.

“Kita datang untuk bekerja dan meninggalkan perkara lain, untuk membuat apa yang perlu bagi mencapai matlamat” untuk menyingkirkan Maduro dari kerajaan, kata Guaido kemudian di satu rapat umum yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Pejabatnya kemudian berkata kelmarin bahawa seorang ahli keluarga yang melakukan lawatan bersama Guaido telah hilang selepas ditahan oleh pegawai lapangan terbang.

Dalam satu kenyataan tersirat yang merujuk kepada kepulangan Guaido, Maduro menyeru kepada penyokongnya untuk memberi tumpuan kepada usaha “mempertahankan Venezuela”.

“Janganlah kita diganggu oleh kebodohan, oleh orang bodoh, oleh pengkhianat kepada tanah air,” katanya di satu majlis yang disiarkan oleh televisyen kerajaan.

Guaido menjadi orang penting pada Januari 2019 apabila beliau mengisytiharkan diri sebagai pemangku presiden untuk mencabar Maduro secara langsung.

Beliau mendapat kuasa sedemikian dari kedudukannya sebagai speaker Dewan Negara, selepas dewan per-undangan itu mengisytiharkan pemilihan semula Maduro pada 2018 adalah tidak sah ekoran pemilihan yang dikecam ramai sebagai penuh dengan penipuan.

Penggubal undang-undang memanggil Maduro seorang “perampas” manakala lebih 50 negara mengiktiraf Guai-do sebagai presiden sementara.

Lawatan antarabangsa berkenaan merupakan kali kedua Guaido, yang meng-umumkan sesi dewan per-undangan semalam, melanggar larangan perjalanan.

Orang nombor dua Maduro, Diosdado Cabello pada Isnin berkata beliau tidak men-jangkakan banyak perubahan selepas perjalanan Guaido, yang beliau sebut sebagai “lawatan pelancongan”.

“Dia tidak ada apa-apa,” kata Cabello.

Tetapi Guaido menulis di Twitter kelmarin: “Saat baharu sudah bermula yang tidak akan menerima halangan dan di mana kita memerlukan semua orang untuk melakukan apa yang mereka perlu buat. Masanya sudah tiba.”

“Sekarang lebih daripada selama ini, kita memerlukan perpaduan, keyakinan dan disiplin politik. Tunggu peng-umuman baharu.” — AFP

Advertisement