Anda di sini

Pesara kerajaan didenda RM5,000 kerana sebar berita palsu mengenai Koronavirus

 Aliuudin bergegas masuk ke dalam kereta selepas membayar denda dan dibebaskan.
TERTUDUH: Aliuudin bergegas masuk ke dalam kereta selepas membayar denda dan dibebaskan.

SANDAKAN: Seorang pesara kerajaan didenda sebanyak RM5,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu berkaitan wabak Koronavirus.

Aliuudin Amit, 67, yang tidak diwakili oleh peguam, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhailla Selag.

Mengikut fakta kes, tertuduh secara sedar telah mengedarkan satu kenyataan melalui perkhidmatan aplikasi WhatsApp kira-kira jam 9.34 malam pada 23 Januari di Lot 70, Jalan Selungsung, Taman Sempelang, Kota Kinabalu.

Kenyataan itu bertulis mengenai kematian mengejut banduan di Penjara Sandakan yang dipercayai akibat jangkitan Koronavirus selepas memakan buah limau Mandarin. Kenyataan itu juga mengatakan semua pegawai yang bertugas telah dikuarantin dan diberikan suntikan vaksin selain meminta orang ramai agar tidak memakan limau Mandarin kerana dipercayai dicemari wabak Koronavirus.

 

Tertuduh yang menyesal dengan perbuatan itu merayu agar hukuman dikurangkan selain berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Tertuduh juga tidak berniat mengaibkan sesiapa dengan menyebarkan berita palsu itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Franklin Ganggan Bennet dalam pendakwaannya berkata meskipun tertuduh telah mengaku bersalah, namun ia perlu dilihat dari faktor kepentingan awam dan bukannya individu.

Beliau berkata, perbuatan itu adalah satu kesalahan yang serius lebih-lebih lagi dalam keadaan seluruh dunia sedang berdepan dengan wabak Koronavirus.

Jelasnya, perbuatan mengedar berita palsu itu boleh menimbulkan ketakutan dan panik dalam kalangan masyarakat khususnya di Sandakan.

Beliau berharap, kes seumpama akan menjadi mesej jelas agar masyarakat tidak memandang remeh perbuatan menyebar berita palsu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.