Anda di sini

Lao Wu, anjing pertama terima anugerah Polis Pahang

Advertisement
Seekor anjing baka German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah sebagai anjing pertama menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ bagi polis kontinjen Pahang. - Gambar Bernama
Lao Wu, anjing baka German Shepherd dari Unit K9 PDRM mencipta sejarah sebagai anjing pertama menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ bagi polis kontinjen Pahang. - Gambar Bernama

KUANTAN: Seekor anjing baka German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah sebagai anjing pertama menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ bagi polis kontinjen Pahang. 

Anjing bernama Lao Wu menerima pingat berkenaan daripada Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, yang diwakili timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, pada majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Mohd Yusri Hassan menyampaikan pingat berkenaan kepada pengendali Lao Wu, Sarjan S. Sanmugam, yang kemudian memakaikan ke leher anjing tersebut.

Sanmugam berkata Lao Wu, yang berusia lima tahun lapan bulan, menerima penghargaan itu atas kejayaannya mengesan seorang suspek curi kenderaan yang melarikan diri sejauh lebih empat kilometer di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Tekam, Jerantut, kira-kira 160km, dari sini, pada 14 November lalu.

Sebelum itu, polis menembak suspek di bahagian kaki ketika cuba melarikan diri semasa operasi Lejang di kawasan itu.

"Kami memulakan operasi mengesan suspek yang dipercayai telah cedera pada jam1.45 pagi dan hanya 50 meter dari lokasi permulaan, Lao Wu menemukan baju-T yang berlumuran darah yang dipercayai ditinggalkan suspek selepas mengelap darah pada kakinya. 

Sarjan S. Sanmugam (tengah) bersama anjing baka German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah sebagai anjing pertama menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ bagi polis kontinjen Pahang. - Gambar Bernama
Sanmugam (tengah) bersama Lao Wu, hari ini. - Gambar Bernama

"Lao Wu begitu bersemangat untuk mencari suspek sehinggakan saya di belakangnya terjatuh dua kali akibat tersadung ekoran persekitaran yang gelap dan tanah tidak rata sebelum kami sampai di sebuah rumah dalam ladang. 

"Pemilik rumah mengatakan terdapat seorang lelaki datang meminta bantuan kerana ditembak namun telah melarikan diri apabila dia mahu menghubungi polis," katanya kepada Bernama semasa ditemui di unit K9 IPK Pahang, di sini, hari ini. 

Sanmugam berkata Lao Wu kemudiannya membawa mereka kembali ke ladang kelapa sawit sehingga berjumpa sungai sekitar jam 4 pagi, dan tindakan Lao Wu mahu meredah sungai itu menyebabkan mereka percaya suspek telah berada di seberang sungai. 

Telahan itu tepat kerana operasi yang bersambung pada jam 6 pagi di seberang sungai, menemukan tompokan darah berhampiran sungai itu selain anjing tersebut juga beberapa kali keluar dari ladang untuk ke jalan berhampiran sebelum kembali semula ke ladang. 

"Lao Wu terus memandu arah kami ke sebuah rumah di situ dan akhirnya suspek berjaya ditemui di belakang rumah sekitar jam 10.45 pagi dalam keadaan lemah dan merayu supaya saya tidak melepaskan anjing sebaik sahaja melihat kelibat Lao Wu. 

"Suspek mengakui ada beberapa kali ke jalan raya kerana menunggu rakannya datang menjemput namun terpaksa masuk semula ke ladang kerana rakannya belum tiba," imbas Sanmugam. 

Katanya, beliau mengendalikan Lao Wu, yang diperoleh dari China, sejak 2015 dan merupakan anjing  pengesan keempatnya dalam tempoh 29 tahun berkhidmat dengan unit K9. - Bernama 

Advertisement