Anda di sini

Tiada pilihan raya kecil untuk Pujut - Asfia

Advertisement
Asfia bersama Gerawat dan Pele pada sidang media bagi memaklumkan tiada keperluan mengadakan pilihan raya kecil Pujut. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Asfia bersama Gerawat dan Pele pada sidang media bagi memaklumkan tiada keperluan mengadakan pilihan raya kecil Pujut. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pilihan raya kecil tidak diadakan meskipun wujud kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut.

Menurutnya, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak sekarang akan tamat dalam tempoh dua tahun lagi iaitu dengan mengambil kira Jun 2021 sebagai tarikh akhir pembubaran Dewan bermula dari tarikh hari ini Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Dewan Undangan Negeri melucutkan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut sebagai sah.

"Di bawah Perkara 21(5) Perlembagaan Persekutuan Sarawak (menyatakan) jika ada kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum (tarikh) Dewan Undangan Negeri (harus) dibubarkan, kekosongan itu tidak perlu diisi melainkan Speaker memaklumkan secara bertulis kepada SPR memaklumkan majoriti Dewan terkesan dengan kekosongan tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya lagi, kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut tidak menjejaskan majoriti parti pemerintah (Gabungan Parti Sarawak) dalam Dewan ketika ini.

Asfia juga memaklumkan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pele Peter Tinggom akan mengemukakan notis bertulis kepada Dr Ting untuk memohon pembayaran balik semua elaun diterimanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut sejak menang menerusi Pilihan Raya Negeri pada Mei 2016.

"Beliau tidak pernah menjadi wakil rakyat Pujut yang sah, oleh itu beliau tidak seharusnya menerima atau dibayar gaji," jelasnya.

Mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan, beliau berkata Dewan Undangan Negeri Sarawak membuat keputusan yang betul dan disifatkannya sebagai kemenangan bermakna kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak, sekali gus selaras dengan konsep doktrin pengasingan kuasa.

"Ini bukan soal politik. Ia soal patriotisme. Apabila rakyat Malaysia tidak setia dan secara sukarela memohon kewarganegaraan negara lain, berikar dan bersumpah kepada negara tersebut menjadi kepentingan negara itu, individu itu tidak boleh dan tidak seharusnya dibenarkan mewakili pengundi di Malaysia dan berada dalam badan perundangan tertinggi," katanya.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri dan Pele.
 

  • oleh
  • Advertisement