Anda di sini

‘The Farewell’ tegur anugerah Oscar kerana tidak tercalon

Advertisement
 Renee Zellweger tiba di Santa Monica, California bagi menghadiri Majlis Anugerah Spirit pada Sabtu. — Gambar AFP
AKTRES TERBAIK: Renee Zellweger tiba di Santa Monica, California bagi menghadiri Majlis Anugerah Spirit pada Sabtu. — Gambar AFP

Filem China-Amerika ‘The Farewell’ menyampaikan teguran selepas ia tidak dicalonkan untuk anugerah Oscar pada Majlis Anugerah Spirit, Sabtu lepas, manakala ‘Parasite’ dari Korea Selatan menambah cetusan momentum terakhir kepada cabarannya yang digembar-gemburkan untuk memenangi Anugerah Akademi.

Majlis Anugerah Spirit, yang diadakan di sebuah pantai di luar Los Angeles sehari sebelum Majlis Anugerah Oscar, memberi penghormatan kepada filem dengan bajet lebih kecil, dan selalunya diadakan sebagai penawar kepada cita rasa Akademi yang lebih aliran utama – dan kurang pelbagai.

The Farewell, mengenai sebuah keluarga yang bertemu semula untuk melawat seorang nenek yang tidak tahu dia akan mati di China, memenangi filem terbaik, selepas ia tidak menerima pencalonan untuk sebarang anugerah Oscar.

Pengarah filem tersebut Lulu Wang memberitahu AFP: “Begitu ramai orang berkata tidak ada orang yang akan mahu menonton filem itu (kerana) ia tidak cukup bersifat China, ia tidak cukup bersifat Amerika.

“Untuk orang sekadar menontonnya sebagai sebuah filem keluarga, sebagai sebuah cerita sejagat, ia benar-benar bermakna.”

Wang merupakan seorang daripada beberapa pengarah wanita yang disanjung tetapi gagal untuk menerima pengiktirafan Oscar, tetapi berkata dia tidak terkejut apabila dia tahu dia tidak akan dicalonkan.

“Apabila anda memenangi anugerah, ia diberikan kepada anda oleh sekumpulan rakan sekerja. Apabila saya melihat Akademi, dan komposisi badan pengundi dalam Akademi, mereka bukanlah rakan-rakan sekerja saya.

“Itulah masalah terbesar. Jika rakan-rakan sekerja saya diwakili dalam badan pengundi Akademi, maka mereka akan mengundi untuk filem yang menggambarkan kehidupan mereka dan cerita mereka.

“Itulah keadaannya selama ini. Jadi saya tidak terkejut dengan segalanya,” katanya.

Keahlian Akademi adalah 84 peratus berkulit putih dan 68 peratus lelaki.

Dalam kejutan terbesar pada Majlis Anugerah Spirit, Jennifer Lopez gagal untuk memenangi anugerah aktres pembantu terbaik, bagi lakonannya sebagai seorang penari bogel yang licik dalam ‘Hustlers’, yang sebaliknya dimenangi Zhao Shuzhen, yang membawa watak nenek dalam The Farewell.

Zhao tidak dapat datang dari China ekoran wabak Koronavirus baru yang melanda negara tersebut.

Sementara itu Parasite, yang mencapai kejayaan yang jarang sekali berlaku bagi filem bahasa asing dan dijangka akan memenangi filem bukan Inggeris pertama untuk memenangi filem terbaik pada Majlis Anugerah Oscar di Hollywood semalam, memenangi anugerah filem antarabangsa terbaik.

Pengarah Bong Joon-ho berkata, sarikata tidak menjadi penghalang bagi komedi gelapnya kerana mesejnya mengenai ketidaksamarataan kelas yang semakin meluas akan difahami ‘orang yang tinggal di Marikh’.

“Saya tidak mencipta filem ini untuk memberi sumbangan yang amat besar kepada dunia perfileman antarabangsa.

“Semakin mendalam anda menyelidiki apa yang ada di sekeliling anda, apa yang ada dekat anda, semakin bersifat sejagat dan lebih meluas cerita itu,” ,” kata Bong kepada wartawan di belakang pentas.

‘Douchebags’

Adik-beradik Josh dan Benny Safdie memenangi anugerah pengarah terbaik untuk filem aksi mereka yang gila dan penuh kerisauan ‘Uncut Gems’, mengenai seorang tukang emas di New York dengan ketagihan kepada perjudian yang menimbulkan masalah yang semakin mendalam bagi dirinya.

Bintang filem itu yang digemari penonton Adam Sandler memenangi anugerah pelakon terbaik, dan bergurau mengenai hakikat bahawa dia tidak dicalonkan untuk anugerah Oscar, dengan berkata: “Biarlah semua ‘douchebag’ berambut bulu haiwan itu (pelakon) menerima anugerah Oscar mereka pada malam esok.”

Olivia Wilde, pengarah komedi remaja yang fokus kepada wanita ‘Booksmart’ memenangi filem cereka pertama terbaik, berkata dia harap kemenangan itu akan ‘memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk keluar dan mengarah’.

“Anugerah Filem ‘Independent Spirit’ jauh lebih hebat berbanding Anugerah Oscar – ia diadakan pada waktu siang, kita berada di tepi pantai, kita mengiktiraf pengarah wanita,” kata hos Aubrey Plaza ketika majlis bermula di Santa Monica.

Noah Baumbach memenangi lakon layar terbaik untuk filem perceraian yang menyedihkan ‘Marriage Story’, yang juga bersaing untuk anugerah filem terbaik pada Majlis Anugerah Oscar – sama seperti filem arahan teman wanitanya Greta Gerwig iaitu ‘Little Women’.

“Walaupun dia membuat sebuah filem yang terlalu mahal untuk Anugerah Spirit, dia tidak kurang bebas berbanding sesiapa sahaja di sini,” kata Baumbach.

Renee Zellweger mengukuhkan lagi statusnya sebagai calon pilihan utama bagi anugerah Oscar apabila dia memenangi aktres terbaik untuk ‘Judy’.

Dokumentari terbaik dimenangi ‘American Factory’, filem pertama dari syarikat penerbitan Barack dan Michelle Obama, mengenai sebuah kilang ‘rust belt’ di Amerika Syarikat yang dibuka semula oleh seorang bilionair dari China.

“Walaupun ia ditaja oleh keluarga Obama, ramai ahli Republikan dan orang yang tinggal di kawasan luar bandar menontonnya dalam privasi rumah mereka,” kata pengarah Julia Reichert kepada AFP, sambil memetik data Netflix.

“Mereka mungkin tidak memberitahu rakan-rakan mereka. Tetapi ia benar-benar berlaku. Jadi ia benar-benar hebat. Kita perlu sampai kepada golongan itu kerana kita berada pada tahun pilihan raya.” – AFP

Advertisement