Anda di sini

TEGAS tetap komited memupuk usahawan tempatan, kata Dennis

Advertisement
 Dennis (duduk tiga kanan) bersama sebahagian jawatankuasa penganjur dan peserta SOULS Go-Getter Bootcamp Miri 2020 di  Borneo Tropical Rainforest Resort, dekat Miri kelmarin.
KEM: Dennis (duduk tiga kanan) bersama sebahagian jawatankuasa penganjur dan peserta SOULS Go-Getter Bootcamp Miri 2020 di Borneo Tropical Rainforest Resort, dekat Miri kelmarin.

MIRI: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus komited menjadikan belia sebagai penyedia pekerjaan dan bukan hanya pencari pekerja melalui penglibatan dalam bidang keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Ahli Lembaga Amanah TEGAS berkata, sehubungan itu penubuhan Rakan Belia TEGAS (SOULS) amat relevan dalam menganjurkan program-program yang bersesuaian dengan keperluan belia di kawasan masing-masing.

Katanya, SOULS berperanan penting dalam memperkasa dan mendayakan belia Sarawak melalui kepimpinan keusahawanan, pembangunan kapasiti dan kesedaran kewangan.

“Kita mahu belia Sarawak mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam berkhidmat secara sukarela kepada komuniti dan Sarawak keseluruhannya.

“SOULS juga adalah satu langkah proaktif dalam menyediakan modal insan sejajar dengan penubuhan Digital Innovation Hub di setiap bahagian nanti,” kata Dennis berucap pada Majlis Penanguhan SOULS Go-Getter Bootcamp Miri 2020 di Borneo Tropical Rainforest Resort, dekat sini kelmarin.

Katanya, ia adalah ‘boot camp’ kali kedua dianjurkan selepas Kuching dan diadakan di Miri atas permintaan beliau.

Tambah beliau, ini adalah masa yang terbaik memandangkan Ketua Menteri bertungkus-lumus memperkasa Sarawak demi masa depan generasi sekarang dan akan datang melalui lebih 81 iniasiatif termasuk ekonomi digital.

Program itu dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui TEGAS dan SOULS dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dan disertai 43 peserta dari Miri dan Baram.

Ia bagi mempersiapkan belia Sarawak untuk menjadi seorang pemimpin yang dapat  membawa lebih banyak pembangunan di Sarawak terutama dalam era ekonomi digital dan revolusi industri.

SOULS merupakan sebuah transformasi daripada program Forum Belia TEGAS yang telah kita anjurkan setiap tahun bermula pada 2015.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta program kita yang telah berlangsung selama tiga hari,” katanya.

Menurut Dennis, hampir setahun pembentukan SOULS beberapa ahli jawatankuasa ini telah berjaya mencapai peringkat yang sangat memuaskan.

Antaranya, sebagai presiden dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Sarawak Dayak Graduate Association (SDGA), timbalan presiden kanan Sarawak Dayak National Union (SDNU), ahli Parlimen Belia Malaysia dan terlibat dalam Asia World Model United Nation (AWMNU).

Baru-baru ini, ahli jawatankuasa ini juga telah memenangi Anugerah Belia Negeri Sarawak 2019 bagi kategori individu.

Menurut Dennis, SOULS Go-Getter Bootcamp ini juga akan dianjurkan di Belawai pada 27 hingga 29 Mac 2020.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamed, Pengerusi Rakan Belia TEGAS (SOULS) Surai Anthony Abell, ketua-ketua jabatan dan ahli-ahli Jawatankuasa SOULS.

Advertisement