Anda di sini

Suspek kes bunuh kaunselor Rio de Janeiro dibunuh polis

Advertisement

RIO DE JANEIRO: Suspek dalam kes pembunuhan seorang ahli Dewan Bandaraya Rio de Janeiro berbangsa Afro-Brazil yang lantang bersuara telah ditembak mati pada Ahad selepas dia menembak polis yang dihantar untuk menangkapnya, kata pihak berkuasa Brazil.

Adriano Magalhaes da Nobrega, yang sudah hidup dalam pelarian selama lebih setahun, dikesan polis dalam kawasan luar bandar di bandar raya Esplanada, 170 kilometer ke utara Salvador, ibu kota negeri Bahia.

“Sewaktu ditangkap, dia menembak pegawai dan cedera dalam kejadian berbalas tembakan,” agensi keselamatan negara menyebut dalam satu kenyataan.

“Dia dibawa ke sebuah hospital tetapi meninggal dunia kerana kecederaan yang dialaminya.”

Magalhaes, bekas kapten yang pernah menerima anugerah dalam batalion polis tentera elit Rio, disyaki mengatur pembunuhan Marielle Franco, feminis yang mencipta sejarah dalam dewan bandar raya Rio dan terkenal kerana kecamannya terhadap kekejaman polis dan pembunuhan luar bidang kehakiman, pada 14 Mac 2018.  

Dia dan pemandunya ditembak beberapa kali oleh penunggang motosikal yang mengejar keretanya di Rio de Janeiro.

Dua bekas anggota polis, Ronnie Lessa, 48, dan Elcio de Queiroz, 46, telah ditangkap atas jenayah itu.

Syak wasangka mengenai orang yang mengarahkannya adalah kumpulan separa tentera berpengaruh yang dikenali sebagai ‘Office of Crime’, dipercayai diketuai Magalhaes.

Parti Sosialisme dan Kebebasan yang dianggotai Franco mengeluarkan satu kenyataan pada Ahad untuk menuntut agar keadaan di sebalik kematian Magalhaes diperjelaskan.

“Militia yang dianggotai suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan (Franco) dan dia adalah orang penting untuk menjelaskan beberapa jenayah,” katanya.

Menurut akhbar harian Estado de Sao Paulo, Magalhaes memberitahu peguamnya, dia bimbang akan dibunuh untuk melenyapkan bukti.

Magalhaes pada 2005 menerima pingat Tiradentes, anugerah tertinggi negeri Rio de Janeiro, atas inisiatif timbalan senator ketika itu yang kini sudah menjadi senator Flavio Bolsonaro, anak kepada Presiden Brazil Jair Bolsonaro.

Selalunya dibentuk oleh bekas pegawai polis, militia berkenaan mula muncul buat pertama kali di Rio kira-kira dua dekad lalu kononnya untuk memerangi pengedar dadah di kampung setinggan di bandar raya tersebut tetapi sebaliknya melancarkan keganasan dalam masyarakat miskin. — AFP

Advertisement