Anda di sini

Maybank tawar kelonggaran dari segi kewangan kepada pelanggan terjejas koronavirus

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Maybank menawarkan kelonggaran dari segi kewangan kepada pelanggannya yang terjejas oleh penularan novel koronavirus (2019-nCoV).

Kelonggaran itu termasuk penstrukturan semula dan penjadualan semula pembiayaan, serta penangguhan ke atas bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata kelonggaran tersebut akan dibuka kepada pelanggan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang terjejas oleh situasi semasa.

Mereka akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

“Kami faham kejadian yang berlaku secara tiba-tiba ini akibat penularan virus tersebut yang telah memberi kesan kepada sebahagian pelanggan kami dari pelbagai industri dan juga individu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias.

“Sebagai rakan kewangan mereka, kami ingin melaksanakan tugas kami dan membantu meringankan mereka daripada beban tambahan pada waktu sukar ini, seiring dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan,” katanya.

Farid berkata pelanggan yang terjejas dialu-alukan untuk menghubungi pegawai cawangan mereka atau pengurus perhubungan untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian bagi mengatasi sebarang masalah kewangan yang mungkin sedang dihadapi mereka.

Selain itu, cabang insurans kumpulan Maybank, Etiqa akan menyediakan perlindungan hospital kepada pemegang polisi insurans hayat dan takaful keluarga yang jatuh sakit akibat 2019-nCoV. - Bernama 

Advertisement