Anda di sini

Kempen keselamatan jalan raya umpama mencurah air ke daun keladi - Ramli 

Advertisement
Ramli memakaikan jaket keselamatan kepada seorang daripada peserta kempen keselamatan tersebut sambil disaksikan Ahmad dan Wee.
Ramli memakaikan jaket keselamatan kepada seorang daripada peserta kempen keselamatan tersebut sambil disaksikan Ahmad dan Wee.

KUCHING: Kempen-kempen keselamatan jalan raya ibaratkan mencurah air ke daun keladi apabila jumlah kemalangan terus meningkat seolah-olah tiada kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Demikian keluhan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din yang kecewa susulan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun menjadikan Malaysia antara negara yang mencatatkan kemalangan tertinggi di dunia.

"Pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan bersama agensi lain, namun segala tindakan yang dibuat ini umpamanya mencurah air di daun keladi kerana setiap tahun jumlah kemalangan jalan raya sentiasa meningkat.

"Malah, kalau lihat jumlah kemalangan jalan raya adalah amat mengerikan kerana Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kemalangan yang tinggi di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Penutupan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Insiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selamatan (MBKS) hari ini.

Menurutnya juga, peningkatkan penguatkuasaan oleh pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut merekodkan meningkatkan jumlah saman dalam usaha untuk menyedarkan pengguna jalan raya.

"Ada yang marah kepada kita kerana disaman, tetapi bukan kehendak kita untuk menyaman mereka malah duit saman yang dikumpul bukannya pergi kepada kita.

"Tetapi kerana kita ingin tingkatkan kesedaran terutama kepada pesalah trafik agar tidak mengulangi kesalahan pada masa hadapan dengan harapan agar jumlah kemalangan jalan raya ini dapat dikurangkan," ujarnya.

Bercakap mengenai Ops Selamat baru-baru ini, Ramli memberitahu, di Sarawak sebanyak 20 kematian direkodkan iaitu peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Kita ada 56 kawasan panas di Sarawak yang sering berlaku kemalangan, kita letakkan anggota kita untuk bertugas di situ semasa orang lain menyambut perayaan.

"Bagaimanapun masih juga kes-kes kemalangan ini meningkat, jadi apa lagi yang patut kita buat?," soal Ramli.

Beliau menasihatkan orang ramai atau pengguna jalan raya untuk saling beringat agar lebih berhati-hati dan bersama-sama menjaga keselamatan sepanjang berada di jalan raya.

"Utamakan aspek keselamatan sebelum memulakan sesuatu perjalanan, elakkan tergesa-gesa sehingga boleh mengundang musibah yang tidak diingini semasa di jalan raya.

"Sekiranya mengantuk dan terlampau penat, ambillah masa berehat sebentar sebelum memulakan atau menyambung sesuatu perjalanan supaya pemanduan lebih fokus dan selamat," katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dan Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng.

  • oleh
  • Advertisement