Anda di sini

Dr Ting hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut dalam keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan

Advertisement
DR TING
DR TING

KUCHING: Dr Ting Tiong Choon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini membenarkan tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2017 melucutkan keahliannya dalam Dewan.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 2018 dan Mahkamah Tinggi Kuching pada 2017 mengembalikan semula kedudukan Dr Ting sebagai Ahli DUN Pujut diketepikan dalam keputusan majoriti tujuh berbanding dua hakim pagi tadi.

Mahkamah Persekutuan mendapati Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Ting sebagai ahli kerana mempunyai dua kewarganegaraan meskipun beliau melepaskannya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Dewan Undangan Negeri pada 2017 mendapati Dr Ting memiliki kerakyatan Australia.

KEMAS KINI BERMULA DI SINI

Gambar dimuat naik Asfia dalam Instagram beliau hari ini.
Gambar dimuat naik Asfia dalam Instagram beliau hari ini.

Sementara itu, Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah salah kerana Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri dibaca bersama Perkara 19(1) Perlembagaan Negeri memberi kuasa kepada DUN untuk melucutkan kelayakan Ting kerana mempunyai dua kerakyatan, iaitu warganegara Malaysia dan Australia.

"Ini tidak boleh dimaafkan dan ia melibatkan soal kesetiaan kepada Malaysia," katanya dalam akaun Instagram beliau hari ini.

Asfia juga menegaskan, tidak wujud pelanggaran keadilan asasi oleh beliau selaku Speaker DUN.

BERNAMA melaporkan, kes ini dikendalikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang bertindak mempengerusikan panel sembilan hakim. 

Hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf,  Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada  Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei, 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia susulan usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak pada ketika itu Datuk Seri Wong Soon Koh.

Saman pemula difailkannya di Mahkamah Tinggi Kuching pada 7 Jun, 2017, bagi mencabar keputusan DUN.

Pada 17 Jun, 2017, Mahkamah Tinggi memutuskan adalah salah di sisi undang-undang untuk DUN melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut.

Susulan rayuan dikemukakan, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan 2-1 pada 13 Julai, 2018, memutuskan DUN telah melangkaui bidang kuasanya dalam melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN atas asas dua kewarganegaraan yang dimilikinya.

Dr Ting telah melepaskan kewarganegaraan Australianya sebelum dinamakan sebagai calon Pujut.

Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; DUN Sarawak dan Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga Menteri Kewangan Kedua, telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengikuti kes itu di mahkamah hari ini berkata, bagaimanapun, terserah kepada speaker DUN untuk memutuskan sama ada mahu mengadakan pilihan raya kecil kerana kekosongan itu berlaku dalam tempoh kurang daripada dua tahun sebelum berakhirnya penggal DUN ketika ini, iaitu pada Jun tahun depan. 

Berita berkaitan: 

Dr Ting akur keputusan Mahkamah Persekutuan

Kelayakan Dr Ting dilucut

Dr Ting kekal ADUN Pujut

Dewan lulus usul kemuka rayuan kes ADUN Pujut ke Mahkamah Persekutuan

  • oleh
  • Advertisement