Anda di sini

Dr Ting akur keputusan Mahkamah Persekutuan

Advertisement
DR TING

MIRI: Dr Ting Tiong Choon akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Dr Ting daripada DAP yang berada di Kuala Lumpur ketika dihubungi, berkata beliau akur dengan keputusan itu meskipun telah berkhidmat selama dua tahun setengah sebagai wakil rakyat kawasan Pujut.

"Bagaimanapun saya berterima kasih dengan penyokong saya dan parti DAP yang mengundi saya sebagai wakil rakyat di Pujut," katanya hari ini.

Dr Ting berkata ia merupakan hari yang sedih baginya setelah menabur khidmat di konstituensi Pujut.

"Pada dasarnya, dan secara rasmi saya tidak disahkan oleh tujuh hakim yang mendengar rayuan itu, manakala dua Ketua Hakim untuk Sabah dan Sarawak serta Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan mempunyai komen dan kesimpulan yang sangat menarik tentang majoriti," jelasnya. 

Keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa DUN mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Dr Ting sebagai ahli kerana mempunyai dua kewarganegaraan meskipun beliau telah melepaskan kewarganegaraan Australia sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri lalu.

Pada 27 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Kuching, memerintahkan Dr Ting yang dipecat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Mei lalu, dikembalikan statusnya sebagai ADUN Pujut.

Hakim Datuk Douglas Christ Primis Sikayun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Dr Ting yang mencabar keputusan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung pemecatannya.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati Dr Ting tidak diberi ruang sepenuhnya untuk membela diri apabila didakwa memiliki kewarganegaraan Australia.

Selain itu, katanya, Speaker membuat takrifan perundangan yang tidak tepat berkenaan hal kewarganegaraan.

"Pemohon (Dr Ting), juga dinafikan hak mendapat keadilan asasi bagi membela dirinya atas dakwaan memiliki kewarganegaraan negara berkenaan.

"Speaker tidak sepatutnya membawa isu kewarganegaraan pemohon dalam perdebatan DUN kerana isu itu memerlukan kajian lebih mendalam. Speaker tidak sepatutnya menjadi 'pendakwa raya'", katanya.

  • oleh
  • Advertisement