Anda di sini

Harrison Ford dakwa Amerika Syarikat telah hilang ‘kepimpinan moral’

Advertisement
HARRISON FORD
HARRISON FORD

HARRISON Ford, yang berada di Kota Mexico pada Rabu lepas untuk mempromosikan filem terbaharunya, mengecam keruntuhan “kepimpinan moral” Amerika Syarikat berhubung isu-isu seperti menambah baik alam sekitar dan dasar imigresen.

“Kita memerlukan kepimpinan moral. Kita sudah kehilangan sebahagian daripada kredibiliti kita dan kita ingin sekali untuk mendapatkannya semula,” kata bintang Hollywood itu kepada pemberita.

Ford berada di sana untuk bercakap mengenai wataknya dalam ‘The Call of the Wild’, sebuah filem kembara yang berlatarbelakangkan Alaska pada tahun 1890an dan berdasarkan sebuah novel daripada penulis AS, Jack London.

Dengan santai dan senyuman, pelakon veteran itu turut menyen-tuh tentang wataknya yang ikonik di Hollywood dalam filem-filem ‘Star Wars’, ‘Indiana Jones’ dan ‘Blade Runner’.

Filem ‘Indiana Jones’ kelima, di mana dia berlakon sebagai pakar arkeologi dengan nama pertama yang luar biasa, juga sedang dalam perancangan.

“Untuk membuat satu lagi filem ‘Indiana Jones’, ia nampak seperti satu idea yang baik, jika kita ada skrip bagus dan saya percaya kita semakin mempunyai skrip yang kita benar-benar inginkan, jadi saya teruja mengenai idea itu,” katanya.

Bercakap pada hari Senat AS melepaskan Presiden Donald Trump daripada tuduhan pendakwaan menyalahgunakan kuasanya dan menghalang Kongres, Ford melencong sedikit untuk bercakap mengenai politik.

“Kita memerlukan pembaharuan sepenuhnya kepada dasar imigresen kita,” kata Ford, 77 tahun.

Mengambil tindakan ke atas pendatang telah menjadi tumpuan utama pentadbiran Trump.

“Kita perlu menjemput orang ke dalam negara, dan bukannya menghalang mereka daripada masuk. Ini adalah sejarah dan Amerika bergantung kepada imigresen,” kata Ford.

Namun “walaupun kerajaan Amerika Syarikat tidak memberikan komitmen, usaha sedang dibuat” ke arah pembaharuan imigresen dan menambah baik alam sekitar, katanya.

Dia terutamanya kagum dengan aktivis alam sekitar remaja dari Sweden, Greta Thunberg.

“Saya mengagumi peranannya yang mewakili orang muda, keberaniannya. Selain itu, saya mengagumi kapasitinya untuk menyuarakan diri. Nampaknya orang muda ada peranan kepimpinan” dalam aktivisme alam sekitar.” — AFP

Advertisement